Artikel Khas

Syariah dan pelaksanaan undang-undang

Ada aktivis Islam keliru dalam kes anak-anak Loh

ALHAMDULILLAH semalam berpeluang menghadiri Persidangan Meja Bulat anjuran PEMBELA bersama wakil-wakil NGO, tokoh akademik, Jab Mufti, pakar undang-undang dan lain-lain. Pembukaan oleh Tuan Haji Aminuddin, Pengerusi PEMBELA diikuti oleh pembentangan dan kupasan dua isu oleh Prof Shamrahayu dan Datuk Zainul Rijal memulakan perbincangan tertutup semalam. Banyak isu dibincangkan dari pelbagai sudut dan beberapa cadangan tindakan telah disenaraikan.

Oleh kerana ianya tertutup, saya tidak kongsikan pandangan orang lain di dalam persidangan semalam. Kesimpulannya akan diketahui juga nanti bila tindakan susulan hasil persidangan memulakan langkahnya. Tunggulah dan doalah sesuatu yang positif akan berlaku.

2. Saya kongsikan di sini apa yang saya lontarkan semalam dengan sedikit pertambahan agar lebih sampai maksudnya kepada pembaca. Moga ada manfaat juga buat yang tidak menghadiri persidangan semalam.

3. Negara mewarisi apa yang ditinggalkan penjajah terutamanya penjajah British. Termasuk dalam apa yang diwarisi adalah Perlembagaan dan undang-undangnya. Walaupun pejuang kemerdekaan dahulu berjaya mengekalkan beberapa perkara berkaitan Melayu, Islam dan Raja tetapi jelas juga masih terdapat perkara yang memberi kelebihan kepada sistem Barat yang menjadi asas perjuangan pejuang liberalisme dan sekutunya. Jika keseluruhan Perlembagaan selari dengan Islam, tidaklah timbul isu-isu seperti kes Indra Ghandi, kes anak-anak Loh dan kes berkait Sister in Islam yang berlaku baru-baru ini.

4. Selain dari sistem tinggalan penjajah, negara juga ditinggalkan dengan pewaris penjajah dari kalangan anak tempatan. Membawa wajah Melayu Islam atau sekurang-kurangnya wajah orang Asia Tenggara tetapi pemikirannya amat dalam mengimani falsafah Barat. Mereka ada di mana-mana sejak dari merdeka hingga sekarang; dalam kerajaan dan dalam pembangkang, dalam pentadbiran negara dan dalam agensi bukan kerajaan, di kota besar dan di pekan kecil.

5. Projek Islamisasi yang berjalan sejak sekian lama, mereka benarkan berlaku. Bahkan adakalanya mereka juga yang jalankan. Tetapi satu yang kita perhatikan adalah projek Islamisasi dalam segenap sudut itu dibenarkan dalam ruang lingkup yang amat terbatas dan tidak sekali-kali akan keluar dari batas itu.

Islamisasi perbankan sebagai contoh akan berlegar di sekitar mengislamisasikan beberapa produk perbankan dan instrumen kewangan. Sekali-kali tidak akan memampukan umat Islam untuk keluar dari kebergantungan kepada bank. Apatah lagi untuk membangunkan sistem wakaf, takaful umat dan sebagainya untuk menjadi teras kepada pembangunan ekonomi umat Islam.

6. Nasib yang sama berlaku di dalam isu perundangan syariah di Malaysia. Beberapa pencapaian dicapai dalam sejarah negara ini. Dari Mahkamah Syariah yang tidak ada kuasa menghukum kepada adanya senarai jenayah syariah dan lulusnya Akta 355 yang memberikan kuasa mendenda kepada Mahkamah Syariah. Dan kemudian sekali lagi berlaku pencapaian apabila muncul pula artikel 121 (1A), satu peruntukan Perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah. Umat Islam bergembira lagi bila Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri ketika itu mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam.

Tetapi Islamkah perundangan negara kita dengan segala perkembangan itu?

7. Sama seperti isu ekonomi atau pendidikan, isu undang-undang juga sebenarnya diletakkan di dalam satu gelanggang yang sempit. Perlembagaan tidak akan membenarkannya untuk melebihi batas sempit yang diberikan itu. Begitu juga tokoh tempatan pewaris pemikiran penjajah itu juga tidak akan membenarkan undang-undang Islam yang ada di negara ini keluar dari batas itu. Dan itulah yang jelas kita perhatikan berlaku di dalam isu anak-anak Loh dan tuntutan Sister In Islam yang berlaku hampir serentak baru-baru ini.

8. Saya tidak mengatakan apa yang dilakukan oleh tokoh-tokoh dan pejuang Islam yang selama ini cuba memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah sebagai sia-sia.

Ada kebaikan yang telah mereka usahakan dan tinggalkan untuk negara. Tetapi itu adalah fasa lepas dan fasa itu sudah berlalu. Fasa ke depan ini menuntut satu yang lebih mencabar lagi. Jika kita masih berpusing di fasa pemerkasaan mahkamah syariah tanpa berani menyentuh perubahan Perlembagaan yang menjadi punca kuasa kepada mahkamah syariah, saya yakin kes-kes seperti kes anak-anak Loh akan sentiasa berulang.

9. Satu lagi cabaran lain yang kita hadapi dalam masalah perundangan Islam ini juga adalah isu neraca masyarakat Islam dari pelbagai peringkat dalam melihat jenayah itu sendiri. Golongan liberal amat kuat berusaha untuk mengubah neraca masyarakat Islam tanpa henti dari dulu hingga sekarang. Kenaifan sebahagian aktivis Islam pula tanpa sedar atau dengan sedar mengukuhkan lagi usaha golongan liberal itu.

Ini bukan pendekatan baru, tetapi telah dimulakan oleh penjajah British sejak sekian lama. Zina dalam pandangan masyarakat Islam adalah dosa besar dan masyarakat menerima hukum rejam atau sebat terhadap jenayah zina tanpa sebarang keraguan. British mengecilkan denda dan hukuman kepada jenayah zina kepada denda duit sahaja agar masyarakat mula memandang zina sebagai kesalahan kecil. Negara merdeka pula dengan zina tidak lagi menjadi jenayah selagi ia dilakukan suka sama suka. Neraca masyarakat memandang jenayah zina mula berubah lagi.

10. Jika kita fahami taktik itu, kita boleh faham apa yang berlaku sekarang dan kita akan bimbang. Rasuah akan dilihat lebih bahaya dari gejala murtad. Apa yang dipanggil sebagai hak peribadi akan semakin besar dan luas menjadikan jenayah itu sendiri akan menyempit pentakrifannya. Orang Islam akan memberikan hak kepada bukan Islam untuk mabuk di jalan raya akhirnya nanti.

Dalam kes anak-anak Loh ada aktivis Islam yang keliru lalu mengatakan kasih sayang ibu lebih utama di dalam Islam dari masa depan agama anak-anak. Dan begitulah seterusnya, neraca masyarakat dalam memandang jenayah akan makin hari makin jauh dari neraca Islam itu sendiri. Ketika itu ada atau tidak ada Mahkamah Syariah pun masyarakat tidak akan peduli.

11. Jika kerja mendidik masyarakat dengan neraca Islam tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, usaha liberalis menanamkan fahaman mereka ke dalam masyarakat itulah yang akan menang.

Saya sudah lama rasa bahawa slot pengisian kepada masyarakat yang penuh dengan lawak lucu dan santai perlu dihentikan. Begitu juga dengan perbalahan sebahagian populis yang terlalu menekankan isu-isu furu’ juga perlu ditamatkan. Didiklah masyarakat Islam dengan neraca Islam yang benar secara sungguh-sungguh.

Neraca yang benar itulah yang akan menjadikan masyarakat Islam sayang syariah, sayang undang-undang Islam dan sayang agama.

Wallahul Musta’an

Presiden ISMA
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button