Berita Utama

Tuntutan Sultan Sulu tidak masuk akal: KM Sabah

Rakyat digesa bertenang, serah kepada pasukan perundangan kendali isu tuntutan

BANGI, 3 Syaaban 1443H, Ahad – Tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Sabah disifatkan sebagai sesuatu yang tidak masuk akal, tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, kerajaan Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan daripada waris Kesultanan Sulu kerana Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

“Tuntutan itu tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak seharusnya dipersoalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menggesa rakyat negeri itu bertenang dan menyerahkan kepada pasukan perundangan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mengendalikan isu tuntutan berkenaan.

Rabu lalu, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama memaklumkan kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya tuntutan sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) yang dikatakan perlu dibayar kepada keturunan Sultan Sulu.

Sebelum ini, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Isu pampasan itu timbul berikutan Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 sekali gus menyebabkan Malaysia didakwa melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button