1.5 juta penduduk Ukraine larikan diri sepanjang 10 hari peperangan
Majoriti hospital tak beroperasi tiada bekalan perubatan

KYIV, 4 Syaaban 1443H, Isnin – Lebih daripada 1.5 juta penduduk Ukraine melarikan diri ke negara -negara jiran dalam tempoh 10 hari peperangan, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi menyifatkan kejadian itu sebagai krisis pelarian paling besar di Eropah sejak perang Dunia Kedua.
Hampir 60 peratus pelarian iaitu kira-kira 885,303 orang telah menyeberangi sempadan Poland, memetik data daripada Pesuruhjaya Tinggi UNHCR.
Data berkenaan menunjukkan 169,053 mencari perlindungan di Hungary manakala 113,967 mengembara ke Slovakia, 84,067 pula melarikan diri ke Moldova dan 71,640 berada di Romania.
Malah, kira-kira 53,300 mengembara ke Russia walaupun negara itu yang menyerang Ukraine sementara itu hanya 406 berhijrah ke Belarus, negara yang membantu Moscow dalam serangan ke atas Ukraine.
Kumpulan bantuan kemanusiaan melahirkan rasa bimbang dengan keselamatan warga Ukraine, sambil melaporkan hospital-hospital di negara ini kini tidak dapat beroperasi kerana tidak menerima bekalan perubatan lagi.
Manakala penduduk pula berdepan masalah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas lain.
Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dalam kenyataan memaklumkan, hanya sebuah hospital di bandar Severodonestsk kini beroperasi.
Pemindahan orang awam juga terpaksa ditangguhkan buat kali kedua berikutan tentera Russia terus membedil bandar berkenaan.
Sementara itu, menerusi laporan UNCHR, seramai 364 tentera Russia terkorban dalam pertempuran manakala 759 orang awam mengalami kecederaan.
Kebanyakan kejadian berlaku di wilayah Donestsk dan Luhan di Ukraine yang mengorbankan 88 penduduk manakala 415 lagi cedera. – Agensi