Kolumnis

PRN Johor, politik cerai, rujuk dan kemaruk?

Sampai bila Melayu mahu sedar?

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor adalah penentu kepada masa depan perpaduan politik Melayu Islam, sama ada dapat diselamatkan atau tidak.

Jika UMNO (Barisan Nasional) mendapat kemenangan besar, pasti PAS akan diceraikan, bukan talak satu, tidak mustahil talak tiga. Kerana UMNO yakin telah mendapat mandat semula daripada rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ini seterusnya pasti membawa kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk disegerakan.

Perpaduan Melayu Islam kembali asal, perpecahan makin melebar, Muafakat Nasional (MN) berkubur. Musuh-musuh politik bersorak gembira.

Namun, jika berlaku sebaliknya, UMNO mendapat majoriti tipis, menjadikan kerajaan tidak stabil, pastinya akan berlaku rujuk dan cumbu semula, sebagaimana yang berlaku selepas PRU14. MN kembali relevan.

Rupanya politik ibarat nikah, cerai dan rujuk. Suka rujuk, tak suka cerai. Walhal, ia suatu perkara yang sangat serius. Demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Paling menghairankan, kenapa kita tidak mahu mengambil pengajaran atau belajar daripada kesilapan?

Semua tahu, perpecahan dan perceraian amat menyakitkan, merugikan, menjadikan kita lemah dan lemah. Orang lain mengambil kesempatan. Hak-hak semakin hilang.

Ketika senang, lupa kawan, bila susah ingat kawan. Kawan menangis susah dicari, kawan ketawa banyak sekali. Bila senang bercerai, bila susah, mahu rujuk.

Beginikah sikap kita? Sampai bilakah kematangan dalam berpolitik dapat menjadi realiti?

Sekadar mengingatkan sahaja sempena PRN Johor yang tinggal beberapa sahaja lagi. UMNO perlu ingat, walaupun UMNO ditubuhkan di Johor, tetapi negeri itu bukan lagi menjadi deposit tetap seperti dahulu.

PRU14 sudah membuktikannya.

Meskipun UMNO dilahirkan dalam Istana Besar Johor Baharu yang pernah mencipta sejarah tetapi itu dahulu, bukan sekarang.

Johor bukan lagi kubu kuat UMNO. UMNO pernah kalah dalam PRU14 dan UMNO dapat memerintah negeri sekarang kerana Perikatan Nasional (PN) yang membantu.

Saya cukup bimbang, katakanlah UMNO tidak menepati ramalannya untuk menang besar, sebaliknya menang tipis, ketika itu UMNO mahu rujuk semula PAS, dan PAS bertindak merajuk, menolak rujuk dan rayuan cumbuan itu.

Perkara ini tidak mustahil. PAS telah melalui pelbagai laluan dan rintangan dalam berpolitik.

UMNO kena ingat PAS bukan jenis boleh digertak-gertak. PAS sudah lali dengan semua itu.

Lupakah kita dengan peribahasa bersatu teguh bercerai roboh atau benarkah seperti yang telah diubah menjadi bersatu teguh, bercerai, kawin satu lagi.

Tidakkah ke bukit sama di daki, ke lurah sama di turuni?

Dalam politik terdesak hari ini, sekuat mana pun UMNO, UMNO tetap memerlukan PAS untuk jangka panjang, terutama untuk mengekang dominasi ultra kiasu seperti MCA.

Jika berpolitik hanya untuk jangka pendek, kita hanya memikirkan untuk hari ini, bukan esok dan akan datang.

Politik jangka pendek nampak sangat kita mementingkan perut dan desperado daripada rakyat. Sebab itulah kepentingan masa depan, jauh lebih utama daripada masa kini.

Jika UMNO menang besar dalam PRN Johor, MCA pasti akan menang besar, pastinya semakin bermaharajalela. Bersorak gembira.

Segala permintaannya akan terlaksana termasuk melunaskan nafsu ultra kiasu perkaumannya.

Dengan adanya PAS, sekurang-kurang MCA akan cuak sedikit.

Berpolitik tidak boleh terlalu desperado.

Terbaharu, teramat sadis apabila melihat desperado pimpinan PN terpaksa hadir berkempen dalam majlis tari menari ‘separa bogel’ ultra kiasu. PN sudah terperangkap dalam politik kemaruk undi.

Melihat kepada kain rentang atau ‘backdrop’ majlis ultra kiasu tersebut sudah dapat menggambarkan keadaan sebenar. Peliknya, bagaimana pimpinan PN boleh hadir.

Bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan. Tulisan Cina terpapar sebesar-besarnya. Inilah sebenar wajah ultra kiasu. Mereka tidak pernah fikir agenda negara.

Kalau terlalu kemarukkan undi, jangan sampai gadaikan prinsip. Bertaubatlah. Inilah cerminan ultra kiasu yang sebenarnya. Berbaloikah undi mereka ini.

Nasib baiklah, kelibat pimpinan PAS tidak kelihatan, jika tidak, saya tidak tahulah bagaimana parti serpihan PAS iaitu PAN akan ‘menyerang’. Itu pun serangan sudah pun berlaku, terlalu sukar untuk ditepis.

Akhirnya, PAS dan UMNO perlu lakukan muhasabah. Jangan asyik serang menyerang? Berpada-pada dalam berpolitik. Masa depan politik dan masa depan ummah berada di tangan kamu berdua. Politik, bukan suka-suka nikah, tak suka cerai, bila desperado, rujuk dan cumbu.

Musuh-musuh Islam dan ultra kiasu sangat mencemburui ‘pernikahan’ berkekalan yang telah kamu jalinkan selama ini. Mereka nak sangat melihat kamu bercerai. Justeru, cepat-cepatlah sedar untuk rujuk kembali.

Kepada rakyat Johor, selamat mengundi. Undilah dengan bijaksana. Jika UMNO menjadi pilihan kamu seperti ramalan, pastikan UMNO tidak menang terlalu besar. Pastikan PAS turut akan menang untuk menjadi semak dan imbang, terutama dalam mengekang pengaruh ultra kiasu.

Saya amat yakin, rakyat di bawah sana, kedua-dua penyokong ini, sedang mengharapkan perpaduan antara kamu berdua. Air mata yang gugur ketika MN ditubuhkan jangan disia-siakan.

Setakat ini, melihat kepada realiti politik, hanya kamu berdua setakat ini yang boleh menjadi ‘penyelamat’ ummah, dalam mengekang dominasi ultra kiasu.

Namun, jika ditakdirkan UMNO menang besar, jangan terlalu berseronok dengan kemenangan hari ini, kerana ia tidak hanya bersifat sementara. Ingatlah, kemenangan untuk masa depan untuk jangka panjang, itulah yang utama.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button