Berita Utama

22,531 anggota polis, tentera undi awal esok

Pengundi disaran lakukan ujian COVID-19 untuk pastikan tahap kesihatan

JOHOR BAHRU, 4 Syaaban 1443H, Isnin – Seramai 22,531 pengundi terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan masing-masing akan mengundi awal untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada jumlah itu, 11,576 orang adalah anggota polis negeri.

Katanya, pembuangan undi akan melibatkan 63 pusat pengundian dengan sejumlah 83 saluran pengundian disediakan untuk proses pengundian awal.

“Pengundian awal akan dijalankan di semua premis polis dan angkatan tentera seperti Ibu Pejabat Polis Johor, semua dewan utama ibu pejabat polis daerah, kem Pasukan Gerakan Am (GOF) dan kem tentera.

“Nasihat saya kepada mereka yang terlibat dalam pengundian awal supaya sentiasa peka dengan arahan Kementerian Kesihatan.

“Sebelum anda melaksanakan tanggungjawab ini (mengundi), pastikan anda menjalankan ujian COVID-19 untuk memastikan anda berada dalam tahap kesihatan yang optimum,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis Johor.

Kamarul Zaman berkata, 382 anggota polis telah memohon untuk menjadi pengundi pos bagi pilihan raya Johor.

“Daripada 382 petugas yang memohon mengundi secara pos, 276 daripadanya diluluskan Suruhanjaya Pilihan Raya, manakala selebihnya tidak diluluskan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button