Berita Utama

Analisis CPTPP selesai, dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat

Ambil kira kesan pandemik COVID-19 termasuk keupayaan kerajaan

KUALA LUMPUR, 4 Syaaban 1443H, Isnin – Analisis kos-manfaat (CBA) bagi ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) telah selesai pada Februari 2022 dan akan dibentangkan makluman Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata dokumen CBA mengesyorkan penyelesaian yang bersesuaian bagi menangani sebarang isu atau kos yang mungkin timbul hasil daripada pelaksanaan CPTPP.

“CBA ini turut mengambil kira kesan pandemik COVID-19 termasuk keupayaan dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara tanpa melanggar mana-mana peruntukan dan komitmen di bawah CPTPP.

“Terdapat tujuh bab dalam CBA ini termasuk analisa sektoral yang terkandung di dalam Bab 5 (Implikasi ke atas 14 sektor ekonomi utama). Manakala di dalam Bab 6 pula, ianya meliputi dapatan tematik (Thematic Findings) bagi lapan aspek yang terkandung di dalam Perjanjian CPTPP,” katanya ketika menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Azmin berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga merancang untuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh yang berkaitan untuk berkongsi dapatan CBA bagi memastikan semua pihak yang berkepentingan memahami dengan jelas hak dan obligasi Malaysia di bawah CPTPP.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), Azmin berkata sehingga kini sebanyak sembilan daripada 14 akta di peringkat persekutuan berkaitan CPTPP telah dibentang dan diluluskan di Parlimen.

“Baki lima lagi akta yang perlu dipinda masih dalam proses pindaan dan dijangkan dibentangkan di Parlimen mengikut jadual kementerian bertanggungjawab,” katanya.

Akta dan ordinan terbabit adalah Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Ordinan Buruh Sabah Bab 67, Ordinan Buruh Sarawak Bab 76 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button