Berita Utama

Arahan guna bahasa Melayu dalam urusan rasmi perlu digazetkan

Tindakan undang-undang boleh diambil jika ada pihak ingkar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Syaaban 1443H, Isnin – Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu mengeluarkan surat pekeliling untuk mengarahkan penggunaan bahasa Melayu bagi setiap urusan rasmi kerajaan, baik di dalam negara mahupun di luar negara.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, arahan KSN itu wajib digazetkan, sambil merujuk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bermakna, setelah arahan itu digazetkan lalu terdapat yang ingkar, tindakan undang-undang boleh diambil,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa bahasa Melayu akan digunakan bagi setiap urusan rasmi kerajaan termasuk lawatan kerja di luar negara bagi memperkasa bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, Ismail berkata, jika negara tuan rumah menggunakan bahasa Inggeris, maka Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Dalam lawatan kerja ke Thailand baru-baru ini, Ismail berkata, beliau menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian rasmi.

Mahu arahan PM dipandang serius, Dr Hasan berkata, tindakan susulan yang lebih proaktif perlu dilaksanakan KSN.

Beliau menegaskan, jika arahan ini tidak digazetkan dibimbangi tiada siapa kelak yang akan peduli pada kenyataan PM.

“Tukar Perdana Menteri nanti akan bertukarlah pula pendirian yang sebegini. Buktinya, lihat sajalah penggunaan bahasa Melayu di mahkamah serta di Parlimen.

“Di mahkamah misalnya, macam-macam alasan diberikan oleh tertuduh kononnya tak fasih bahasa Melayu dah kian berleluasa perbicaraan dalam bahasa Inggeris, walhal ada perintah untuk perbicaraan dalam bahasa Melayu.

“Ketegasan saja tak memadai. KSN wajib berani bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan jika arahannya diingkari,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button