Berita Utama

Banjir kilat: Terowong SMART ditutup

Air Sungai Klang, Sungai Ampang dilencongkan ke Kolam Takungan Berembang

KUALA LUMPUR, 4 Syaaban 1443H, Isnin – Terowong Lebuhraya SMART ditutup berikutan banjir kilat yang melanda ibu kota, kata Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM)

LLM dalam satu ciapan di Twitter, hari ini berkata, antara laluan yang akan terjejas akibat penutupan terowong itu ialah laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar.

“Selain itu, susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras turut ditutup,” katanya.

Sementara itu, Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) memaklumkan air Sungai Klang dan Sungai Ampang telah dilencongkan ke Kolam Takungan Berembang.

Terdahulu, dilaporkan bahawa air banjir telah menenggelami beberapa jalan di pusat bandar setakat 4 petang hari ini, menurut Pusat Kawalan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS).

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, ITIS berkata, air banjir dikesan di terowong di hadapan bangunan Tabung Haji dan Jalan Chan Sow Lin.

Ia juga mengeluarkan amaran untuk Jalan Pudu, Jalan Sri Pemaisuri, Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang pada jam 3.50 petang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, DBKL sedang memantau keadaan itu tetapi menunggu maklum balas daripada Jabatan Saliran dan Pengairan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button