Berita Utama

COVID-19: 184 kes baharu libat kategori 3 hingga 5

Baki 27,251 kes terdiri daripada kategori 1 dan juga 2

KUALA LUMPUR, 4 Syaaban 1443H, Isnin – Sebanyak 184 kes daripada 27,435 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata baki 27,251 kes terdiri daripada kategori satu dan dua, dengan pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,622,607 kes.

“Daripada 184 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan, sebanyak 55 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi; 85 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 44 kes telah menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bagi kes kategori tiga, empat dan lima itu terdapat 98 kes melibatkan berumur 60 tahun dan ke atas, 64 kes mempunyai komorbid dan tiga kes ibu mengandung.

Dr Noor Hisham berkata kes COVID-19 sebanyak 1,756 kes dimasukkan ke hospital semalam dan daripada jumlah itu, 724 kes atau 41.2 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 1,032 kes atau 58.8 peratus melibatkan kategori satu dan dua.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 379 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), 216 kes memerlukan bantuan pernafasan, manakala 30,335 kes sembuh dilapor semalam menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,281,128 kes.

Mengenai penggunaan katil kes kritikal atau ICU di hospital, beliau berkata lima negeri menunjukkan pengisian 50 peratus atau lebih dengan Selangor dan Putrajaya masing-masing merekodkan kadar 83 peratus, Johor (70 peratus), Kelantan (69 peratus) serta Kuala Lumpur (54 peratus).

Bagi nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19, Dr Noor Hisham berkata ia kini 1.05, dengan Sarawak mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.38, diikuti Perak (1.24), Kuala Lumpur (1.22), Terengganu (1.14) dan Negeri Sembilan (1.12). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button