Berita Utama

KPT cadang tubuh jawatankuasa pengembangan bahasa Melayu negara ASEAN

19 universiti berpotensi kembangkan aspek tamadun alam Melayu ke peringkat antarabangsa

BANGI, 4 Syaaban 1443H, Isnin – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Negara-negara ASEAN.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, cadangan itu seiring dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob agar bahasa Melayu dimartabatkan di peringkat antarabangsa

Beliau berkata, jawatankuasa ini antara lain berperanan untuk merancang pemetaan program kerjasama dalam pelbagai aktiviti seperti penyelidikan, pengembangan bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN dan program terjemahan serta adaptasi karya-karya ilmu.

“KPT telah mengenal pasti 19 universiti di Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina yang berpotensi untuk diadakan program-program kolaborasi dengan universiti tempatan.

“Dalam hal ini, PT telah melantik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai Sekretariat bagi memulakan kerjasama strategik untuk mengembangkan aspek-aspek penting tamadun alam Melayu ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan jumlah kira-kira 300 juta orang penutur bahasa Melayu di negara-negara induk bahasa Melayu dan di negara-negara ASEAN lain yang mempunyai komuniti berbahasa Melayu, program itu mampu meluaskan lagi pengaruhnya.

“Program pengembangan Bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN ini dapat melonjakkan taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bukan sahaja lingua franca bahkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa bernilai ekonomi di rantau ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button