Uncategorized

PEMBELA serah memorandum cadangan kepada MAIN kes mahkamah hakis kedudukan syariah

Serahan akan dilakukan di MAIN masing-masing bermula esok

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Syaaban 1443H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) akan menghantar memorandum kepada majlis agama Islam negeri (MAIN) dalam usaha untuk menambah baik sistem perundangan syariah negara.

Pengerusinya Haji Aminuddin Yahaya berkata, memorandum turut disertakan cadangan terhadap apa yang boleh dilakukan oleh MAIN bagi kes mahkamah yang menghakis kedudukan perundangan syariah secara amnya.

Katanya, memorandum tersebut akan diserahkan secara serentak di MAIN masing-masing bermula esok.

Beliau juga akan turun menyertai pasukan yang melakukan serahan di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Shah Alam pada jam 10 pagi.

“Kita akan masukkan bersama beberapa cadangan yang boleh dilakukan oleh majlis agama berkenaan dari luang lingkup perundangan bagi kes-kes mahkamah yang telah menghakis kedudukan perundangan syariah di Malaysia.

“Saya difahamkan bahawa koordinator di setiap negeri sudah berhubung secara rasmi dengan pihak MAIN masing-masing untuk agenda ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, beliau menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan lain untuk sama-sama menyertai serahan ini sekali gus membina kekuatan gerakan sivil yang lebih berakar umbi dalam konteks perjuangan membela perundangan syariah.

Katanya, penyertaan tersebut adalah tanda sokongan dan dukungan kepada majlis-majlis agama untuk terus melaksanakan bidang kuasanya tanpa halangan atau rasa takut.

“Ini kerana saya yakin, sinergi yang baik antara rangkaian peguam, gerakan sivil dan majlis agama adalah penting untuk membina kekuatan yang jitu terhadap sistem perundangan syariah yang sering dihakis-hakis melalui pelbagai kes mahkamah sebagai ‘alat’ pihak tertentu.

“Semoga Allah memudahkan urusan kita semua dan melindungi kita dari segala halangan nanti. InsyaAllah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button