Berita Utama

Macau Scam: Polis tak siasat kes pengubahan wang haram melalui telefon

Saksi perlu hadir ke pejabat, balai polis berhampiran untuk siasatan

BANGI, 5 Syaaban 1443H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan kes penipuan Macau Scam yang menggunakan alasan siasatan pengubahan wang haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, melalui siasatan yang dijalankan mendapati, antara modus operandi sering digunakan sindiket penipuan adalah dakwaan penglibatan mangsa dalam siasatan pengubahan wang haram.

Katanya, berdasarkan rekod bagi tahun 2021, sejumlah 1,585 kes disiasat membabitkan kes penipuan Macau Scam, manakala 557 kes dicatatkan sehingga Februari tahun ini.

“Suka diingatkan, siasatan berkait kes jenayah pengubahan wang haram yang dijalankan oleh pihak polis adalah dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

“Pihak polis tidak akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarudin berkata, saksi berkaitan akan dikehendaki untuk hadir di Pejabat Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tujuan siasatan.

Malah, beliau berkata, pihak polis juga tidak akan sewenang-wenangnya membekukan atau menyita bank milik mana-mana individu.

“Tindakan tersebut hanya akan dilakukan setelah siasatan yang dijalankan menemui bukti dan keterangan yang benar-benar mencukupi.

“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan adalah dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button