Berita Utama

PEMBELA serah memorandum perkasa undang-undang syariah kepada MAIS

Syor pelantikan hakim yang faham isu syarak, bukan hanya sivil

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

SHAH ALAM, 5 Syaaban 1443H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), hari ini menyerahkan memorandum pemerkasaan undang-undang syariah kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, memorandum itu bagi menyampaikan pandangan pihaknya berhubung langkah untuk memperkasakan MAIS.

Lebih-lebih lagi apabila timbulnya pelbagai isu berkait syariah dan keputusan mahkamah dilihat tidak memihak kepada agama Islam, malah menghakis kedudukan agama ini.

Aminuddin berkata, memorandum itu menyatakan analisis dan beberapa cadangan antaranya untuk mengesahkan Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu.

Selain itu, ia turut mengesyorkan agar menguatkan jawatankuasa teknikal serta menilai pelantikan hakim-hakim agar mereka yang dilantik bukan sahaja memahami isu sivil bahkan isu syarak.

“Kita harap perkara ini mendapat perhatian pihak MAIS dan pada masa sama semua PEMBELA di peringkat kebangsaan menghantar memorandum di majlis agama peringkat negeri hampir seluruh Malaysia.

“Jadi insya-Allah mudah-mudahan pandangan PEMBELA dan juga rakan NGO mendapat perhatian daripada pihak majlis agama negeri dan akhirnya Duli Yang Maha Mulia Sultan di negeri masing-masing,” katanya selepas selepas menyerahkan memorandum kepada wakil MAIS di ibu pejabat MAIS di sini, hari ini.

Memorandum berkenaan diterima Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin.

Sebelum ini, rakyat meluahkan rasa gusar apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang memberi kuasa kepada mahkamah tinggi syariah negeri, bagi mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Berikutan itu, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara mengisytiharkan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Seksyen itu memberikan kuasa kepada mahkamah tinggi syariah untuk menggunakan bidang kuasanya bagi mendengar dan membenarkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan dibuat majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen itu.

Perkara itu diputuskan mahkamah selepas membenarkan permohonan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia), selaku pempetisyen untuk menentukan persoalan undang-undang bagi mencabar keperlembagaan enakmen berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button