Berita Utama

PRN: Saingan di Johor tak sama seperti Melaka

Faktor taburan penduduk, pengundi baharu perlu diambil kira

BANGI, 5 Syaaban 1443H, Selasa – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan saingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah situasi yang berbeza sekiranya dibandingkan dengan PRN Melaka sebelum ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, kawasan di Melaka tidak seluas seperti di Johor, selain perlu mengambil kira soal taburan penduduk.

“23 kerusi daripada 28 kerusi di Melaka majoriti memang Melayu jadi senang untuk saya buat ramalan, tetapi di Johor taburan penduduk itu ada pelbagai kaum yang ada di setiap DUN.

“Faktor pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik juga perlu ambil kira kerana ada 750,000 pengundi baharu.

“Satu DUN sekurang-kurangnya ada 6,000 pengundi baharu,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Meskipun optimis mampu merampas semula kerusi DUN Endau, Mohamad yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN menegaskan supaya jentera parti tidak terlalu selesa.

“Saya yakin mampu dapat kembali DUN Endau kerana ini memang tempat BN tapi jangan kita terlalu selesa.

“Kita perlu kerja kuat supaya kawasan Endau dan Tenggaroh akan kekal sebagai kawasan BN,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, soal untuk mendapatkan kemenangan majoriti bukan menjadi matlamat utama BN, sebaliknya apa yang lebih penting adalah memastikan parti itu terlebih dahulu berjuang supaya hasrat untuk menubuhkan kerajaan tercapai.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac dengan pengundian awal berlangsung pada hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button