Berita Utama

Tambah baik sistem kawalan banjir kini satu keperluan

Taburan hujan lebih dari biasa dipengaruhi Fenomena La Nina

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 5 Syaaban 1443H, Selasa – Langkah menangani banjir kilat termasuk menambahbaik sistem kawalan banjir dilihat sebagai satu keperluan buat masa ini, memandangkan cuaca dunia semakin tidak menentu akibat pemanasan global.

Bahkan, taburan hujan lebat yang sukar dijangka serta berlakunya ribut di beberapa kawasan di negara ini telah menyebabkan banjir yang turut membawa kepada kemusnahan.

Justeru, sudah tiba masanya sistem kawalan banjir seperti rumah pam, pintu kawalan air, siren, kolam takungan dan lencongan banjir diperhebatkan, sebagai usaha persediaan menghadapi banjir kilat di beberapa kawasan khususnya sekitar Lembah Klang, kata Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah.

“Perkara ini akan terus berulang lagi sekiranya sistem kawalan banjir di negara kita tidak ditambah lagi.

“Penambahan ini bersesuaian terutama di Lembah Klang ini yang memiliki penduduk yang ramai,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau menjelaskan, sistem kawalan banjir itu adalah alternatif kepada pembinaan terowong SMART yang memakan belanja besar, selain mengambil masa agak lama.

Namun, penambahbaikan sistem kawalan banjir perlu dilakukan segera supaya pengguna tidak berterusan menjadi mangsa, katanya.

Semalam, beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, termasuk Kuala Lumpur dilanda banjir kilat, selepas hujan lebat berterusan sejak 3 petang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian berlaku sepanjang Disember hingga penghujung Mac ini dipengaruhi Fenomena La Nina yang menyebabkan taburan hujan melebihi 10 hingga 20 peratus daripada kebiasaan.

Menurut Prof Azizan, keadaan itu menyebabkan tanah tidak mampu menyerap air hujan dalam kuantiti yang lebih besar, selain faktor pelbagai pembangunan menyebabkan kadar penyerapan berkenaan terbatas.

Katanya, jika perparitan berada dalam keadaan baik dengan adanya takungan seperti terowong SMART di Kuala Lumpur sudah pasti kesan banjir boleh diminimumkan.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan kejadian banjir kilat yang berlaku adalah di peringkat akhir berikutan fenomena La Nina dalam Monsun Timur Laut bakal berakhir sekitar hujung Mac ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button