Berita Utama

COVID-19: Tiada keperluan CT value jadi panduan tempoh isolasi

Penggunaannya hanya kelirukan pengurusan kes COVID-19

BANGI, 5 Syaaban 1443H, Selasa – Tiada keperluan penggunaan nilai kitaran ambang atau Cycle Threshold (CT value) dijadikan sebagai panduan terhadap tempoh isolasi, menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam.

Dr Helmy Hazmi dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, penggunaan CT value hanya akan menambah kekeliruan kepada pengurusan kes COVID-19 yang berbeza sekiranya ia digunakan sebagai panduan tempoh isolasi.

Ini kerana, beliau berkata, fungsi CT value tidak boleh dinilai dengan mudah.

“Pertamanya, hanya ujian PCR yang boleh memberikan nilai CT yang tepat.

“Ujian calitan Polymerase Chain Reaction (PCR) juga tidak murah dan keputusan ujian tersebut juga mengambil masa, lebih-lebih lagi apabila kemuncak jangkitan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing supaya menilai semula tempoh isolasi bagi kes positif COVID-19 dan kontak rapat mengikut nilai kitaran ambang (CT value).

Mengulas perkara itu, Dr Helmy berkata, CT value juga bukan satu nilai yang mutlak dan ketepatannya sebaliknya bergantung kepada banyak faktor lain mempengaruhi satu ujian yang dijalankan di makmal.

Malah, beliau berpandangan, alatan yang digunakan untuk mencalit dan memproses spesimen, bahan kimia atau reagen yang digunakan serta teknik pengekstrakan turut mempengaruhi.

“Algoritma yang digunakan boleh berbeza-beza dari makmal ke makmal. Tahap kesihatan semasa individu dan status vaksin boleh mempengaruhi bacaan nilai CT.

“Walaupun nilai CT memberi panduan kepada beban virus seseorang. Namun, kita tidak dapat pastikan secara tepat fasa jangkitan tersebut – adakah ia baru bermula ataupun sudah berada di pengakhiran,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, individu dengan CT value yang tinggi (beban virus rendah) masih boleh menjangkiti orang lain.

“Kebolehjangkitan dipengaruhi oleh dos jangkitan yang berbeza-beza di antara individu, bukan semata-mata pada nilai Ct,” katanya.

Justeru, dari perspektif kesihatan awam, ujian PCR adalah lebih baik sebagai ujian kualitatif – yang menilai sekiranya seseorang itu positif atau negatif, katanya.

Dr Helmy berkata, isolasi dan kuarantin perlu berdasarkan kepada tempoh pengeraman, masa tempoh kebolehjangkitan dan keperluan untuk pemulihan sosio-ekonomi negara dengan selamat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button