Pendapat

Kes SIS Forum: Satu ulasan

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

Pada 17 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor menyiarkan fatwa berikut dalam Warta:

“FATWA PEMIKIRAN LIBERALISME DAN PLURALISME AGAMA

1. SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

2. Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.

3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.

4. Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.”

Berikutnya, Sis Forum (Malaysia) dan dua lagi (Pempetisyen) telah membuat permohonan untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman (judicial review) di Mahkamah Tinggi memohon, antara lain, perintah-perintah pengisytiharan (declaration) berikut:

“i) setakat Fatwa secara tersirat memperuntukkan kesalahan berhubung dengan akhbar, penerbitan, penerbit, percetakan dan mesin cetak, ia bertentangan dengan seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;

(ii) setakat ia mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (‘SKMM) untuk menyekat laman web sosial, adalah bertentangan dengan seksyen 3(3) Akta SKMM 1998;

(iii) pengisytiharan bahawa Fatwa itu adalah melebihi Perkara 10, 11, 74 dan Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan;

(iv) pengisytiharan bahawa pempetisyen adalah syarikat berhad melalui jaminan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau mana-mana pihak lain yang tidak boleh menganut agama Islam, tidak boleh tertakluk kepada Fatwa tersebut.” (Terjemahan saya).

Kebenaran diperolehi oleh Pempetisyen dan Responden merayu ke Mahkamah Rayuan.

Pada 21 05 2015, Kerajaan Negeri Selangor mewartakan pindaan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, menambah seksyen 66A berikut:

“Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, mempunyai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah Enakmen ini.”

Rayuan itu sampai ke Mahkamah Persekutuan. Di Mahkamah Persekutuan, pada 25 09 2018, kedua-dua belah pihak telah merakamkan penghakiman persetujuan bahawa isu-isu yang akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi adalah seperti berikut:

“(i) sama ada Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman ini yang berkaitan dengan cabaran terhadap fatwa.

(ii) sama ada responden ke-3 mempunyai locus standi untuk memulakan permohonan semakan kehakiman ini terhadap responden.

(iii) adakah fatwa tersebut melanggar undang-undang persekutuan iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

(iv) sama ada fatwa tersebut melanggar Perlembagaan Persekutuan.

(v) adakah fatwa tersebut mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

(vi) sama ada fatwa itu terpakai kepada responden pertama sebagai sebuah syarikat.” (Terjemahan saya).

Maka kes itu pun turun semula ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan oleh Hakim Nordin Hassan atas isu-isu itu. Beliau mengeluarkan penghakimannya pada 27 08 2019.

Mengenai soalan (i) beliau memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu. Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa ialah Mahkamah Tinggi Syariah.

Walaupun Hakim tersebut berkata keputusannya mengenai soalan (i) itu sahaja sudah cukup baginya menolak permohonan itu, beliau menjawab juga soalan-soalan lain yang dikemukakan oleh Mahkamah Persekutuan kepadanya.

Ringkasnya, mengenai soalan (ii) beliau memutuskan “… pemohon ketiga mempunyai kepentingan yang mencukupi dalam kesahihan fatwa yang disangkal dan oleh itu mempunyai locus standi untuk menjadi pihak dalam permohonan semakan kehakiman ini.” (Terjemahan saya).

Mengenai soalan (iii), beliau memutuskan bahawa fatwa tersebut tidak melanggar undang-undang persekutuan iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Mengenai soalan (iv), beliau memutuskan bahawa fatwa tersebut tidak menyalahi mana-mana peruntukan Perlembagaan.

Mengenai soalan (v), beliau memutuskan bahawa fatwa tersebut mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mengenai soalan (vi), beliau memutuskan bahawa fatwa itu terpakai kepada responden pertama sebagai sebuah syarikat.

Pada 12 09 2019, saya telah menerbitkan satu rencana bertajuk “Adakah Fatwa Mengikat Syarikat”. Saya tidak ingat sama ada saya menulis rencana itu setelah saya membaca penghakiman itu atau tidak. Saya fikir tidak, sebab dalam rencana itu saya sedikit pun tidak merujuk kepada penghakiman itu atau mengulasnya.

Dalam rencana itu, merujuk kepada perenggan pertama fatwa itu, antara lain, saya berkata:

“Dengan mengatakan bahawa “SIS Forum (Malaysia)… yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”, Jawatankuasa Fatwa itu telah membuat keputusan fakta bahawa SIS Forum (Malaysia) berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Selepas itu, ia memutuskan bahawa SIS Forum (Malaysia) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, tanpa memberinya hak untuk didengar, bertentangan dengan prinsip natural justice.

Membuat keputusan seperti itu adalah fungsi mahkamah, selepas perbicaraan.

Atas sebab penafian natural justice sahaja, setakat fatwa itu menyatakan bahawa SIS Forum (Malaysia) … yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, fatwa itu tidak sah.

Kedua, fatwa itu menganggap SIS Forum (Malaysia), pertubuhan dan institusi sebagai orang (manusia) yang menganut agama Islam dan yang boleh berpegang dengan pemikiran liberalisme dan pluralisme agama.

Itu satu lagi kecacatan fatwa itu. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, fatwa hanya dimaksudkan untuk manusia (individu, orang) yang menganut agama Islam, bukan entiti undang-undang atau robot.

SIS Forum (Malaysia) adalah sebuah syarikat yang dihadkan oleh jaminan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965. Ia mempunyai entiti undang-undang yang berasingan daripada penjamin/pemegang saham. Ia bukan seorang Islam atau bukan Islam kerana ia tidak boleh beriman dengan Islam atau agama apa pun, malah, dengan pemikiran liberalisme dan pluralism agama. Oleh itu, fatwa tidak mengikatnya. Yang terikat dengan fatwa adalah orang (manusia) yang menganut agama Islam, termasuklah pegawai dan ahli SIS Forum (Malaysia).”
……
Merujuk kepada Perenggan 2 fatwa, walaupun berkenaan orang-orang Islam, Jawatankuasa Fatwa tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuat perintah untuk melucuthakkan dan memusnahkan mana-mana dokumen atau bahan lain yang mengandungi pendapat yang ditegah itu. Subseksyen (2) seksyen 13 Enakmen No. 9 tahun 1995 dengan jelas menyatakan bahawa yang mempunyai kuasa untuk membuat perintah berkenaan ialah mahkamah. Bidangkuasa Jawatankuasa Fatwa hanyalah “penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak”.

Mengenai Perenggan 3, saya tidak fikir Jawatankuasa Fatwa mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah sedemikian terhadap agensi persekutuan, selain daripada ia bukan seorang Islam atau bukan Islam.

Mengenai Perenggan 4, saya tiada komen.

Sila ambil perhatian bahawa saya tidak mengatakan bahawa fatwa itu salah menurut hukum syarak. Sebaliknya, saya hanya menunjukkan bahawa fatwa itu, seperti yang dibuat itu, telah melebihi kuasa yang diberikan kepada Jawatankuasa Fatwa oleh Perlembagaan dan undang-undang.”

Pada 21 Januari 2020, SIS Forum memfailkan notis usul, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, tidak sah. Mereka memfailkan petisyen ini setelah mendapat kebenaran daripada seorang Hakim Mahkamah Persekutuan di bawah fasal (3) dan (4) Perkara 4 dan fasal (1) Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.

Rayuan terhadap penghakiman itu masih berada di Mahkamah Rayuan dan ia ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai keesahan seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, terlebih dahulu.

Melalui petisyen ini, pempetisyen memohon pengisytiharan berikut:

“Pengisytiharan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah atas alasan ia membuat peruntukan berkenaan dengan perkara yang Badan Perundangan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat, dan oleh itu, peruntukan tersebut adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.” (Terjemahan saya).

Maka Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sembilan orang hakim, termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar (Malaya) dan Hakim Besar (Sabah dan Sarawak) itu hanya mendengar dan memberi penghakiman atas isu itu sahaja. Penghakiman itu menjelaskan:

“Petisyen ini hanya melibatkan persoalan sama ada Dewan Undangan Negeri Selangor (‘SSLA’) diberi kuasa untuk menggubal seksyen 66A ARIE 2003 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 – ditambah). Oleh itu, saya tidak membuat sebarang ulasan atau keputusan mengenai kesahihan substantif atau prosedur Fatwa.” (Terjemahan saya).

Mahkamah itu memutuskan “bahawa seksyen 66A ARIE 2003 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 – ditambah) adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah, kerana ia adalah peruntukan yang SSLA (Dewan Undangan Negeri Selangor – ditambah) tidak mempunyai kuasa untuk membuat.”

Kesan penghakiman itu adalah Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu. Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengarnya ialah Mahkamah Tinggi (Sivil).

Beberapa kenyataan yang dibuat oleh mahkamah itu dalam memberi penghakimannya perlu diperturunkan dan dijelaskan.

[32] Sehubungan dengan itu, penggunaan perkataan ‘semakan kehakiman’ sahaja dan dengan cara yang membolehkan Mahkamah Syariah melaksanakan kuasa tersebut adalah dengan sendirinya menyerahkan kuasa kepada Mahkamah itu yang sentiasa unik dan eksklusif kepada Mahkamah Sivil. Perkataan ‘perlembagaan, organisasi dan prosedur Mahkamah Syariah’ mesti dihayati dalam konteksnya. Seperti yang dihujahkan oleh pempetisyen dengan betul, untuk membentuk dan mengatur hanyalah bermaksud untuk mewujudkan atau menubuhkan Mahkamah Syariah dalam peringkat yang berbeza. Perkataan ‘perlembagaan, organisasi dan tatacara Mahkamah Syariah’ tidak boleh dipanjangkan untuk memberikan kuasa sedemikian kepada Mahkamah Syariah…” (Terjemahan saya).

Perenggan ini menjelaskan bahawa penggunaan perkataan judicial review (semakan kehakiman) dalam seksyen 66A itu sendiri bertujuan memberi kepada Mahkamah Syariah kuasa yang sentiasa unik dan eksklusif kepada Mahkamah Sivil. Kuasa itu tidak boleh termasuk dalam kata-kata hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga dalan Senarai Negeri.

“[37] Mahkamah ini dalam keputusan baru-baru ini, menjelaskan skop semakan kehakiman apabila ia melibatkan perkara yang berkaitan dengan agama. Jika sesuatu perkara berkenaan dengan kuasa undang-undang awam khususnya, persoalan tentang kewajipan dan pematuhan atau ketidakpatuhan undang-undang bertulis adalah tertakluk kepada semakan kehakiman tidak kira intipati perkara asal. Perlu dijelaskan bahawa undang-undang bertulis di sini merangkumi kedua-dua undang-undang persekutuan dan Negeri.” (Terjemahan saya).

Perenggan ini mengulangi penjelasan yang telah diberi mengenai skop semakan penghakiman apabila ia melibatkan agama (Islam). Jika perkara itu mengenai kuasa undang-undang awam, terutama sekali soalan mengenai tanggungjawab dan pematuhan atau ketidakpatuhan undang-undang bertulis, adalah tertakluk kepada semakan kehakiman oleh Mahkamah Sivil tidak kira perkaranya (subject matter). Kata-kata undang-undang bertulis semestinya termasuk undang-undang persekutuan dan Negeri.

“[38] Dari segi perkara, seksyen 66A ARIE 2003 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 – ditambah) adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah, kerana ia adalah peruntukan yang SSLA (Dewan Undangan Negeri Selangor- ditambah) (sebagaimana yang dinyatakan, memberikan kuasa yang lebih luas daripada apa yang boleh dirangkumi secara munasabah dalam perkataan ‘undang-undang Islam dan undang-undang peribadi dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam’ dalam butiran 1 daripada Senarai Negeri. Seksyen 66A dalam bentuknya sekarang, tidak berkaitan dengan perkara doktrin semata-mata atau yang berkaitan dengan agama Islam. Pada hakikatnya, ia berkaitan dengan kuasa undang-undang awam Majlis.” (Terjemahan saya).

Perenggan ini menjelaskan bahawa berdasarkan ujian mengikut perkara (subject matter test), seksyen 66A memberi kuasa yang lebih luas daripada apa yang dibenarkan oleh butiran 1 Senarai Negeri iaitu yang berkaitan dengan perkara doktrin dan agama Islam. Sebaliknya, ia berkaitan dengan kuasa undang-undang awam Majlis Agama Islam.

“[40] Berkenaan dengan prosedur, ia semestinya memerlukan pematuhan undang-undang bertulis dan kegagalan untuk berbuat demikian mungkin mengakibatkan pengeluaran remedi undang-undang awam yang hanya boleh dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil. Kandungan fatwa dan tafsirannya adalah cerita yang berbeza dan perkara yang semata-mata untuk bidang kuasa Mahkamah Syariah setakat yang berkaitan dengan ‘hukum syarak’ atau undang-undang peribadi dan bukan perkara yang secara objektif boleh diambil untuk bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis. (statut Persekutuan atau Negeri atau malah Perlembagaan Persekutuan sekalipun.)” (Terjemahan saya).

Perenggan ini menekankan, mengenai prosedur (membuat fatwa), kegagalan mematuhi undang-undang bertulis (Persekutuan atau Negeri) mungkin mengakibatkan pengeluaran remedi undang-undang awam yang hanya boleh dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil. Tetapi, kandungan fatwa dan tafsirannya setakat yang berkaitan dengan ‘hukum syarak’ atau undang-undang peribadi terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sepenuhnya. Di situ letaknya garis yang menentukan isu yang mana terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil dan yang mana terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Kedudukan ini serupalah dengan pembahagian pusaka. Kuasa untuk mengeluarkan Suratkuasa Mentadbir (Letters of Administration) terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana ia bukanlah hukum syarak tetapi prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang. Sebaliknya, penentuan waris dan bahagian masing-masing adalah isu hukum syarak, oleh itu ia dilelakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“[41] Oleh itu, secara mudahnya, jika mana-mana fatwa atau apa yang dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa dicabar semata-mata atas dasar pematuhan perlembagaan atau undang-undang, maka ia adalah urusan Mahkamah Sivil. Sekiranya persoalannya berkaitan dengan perkara akidah atau kesahihan kandungan fatwa yang diuji bertentangan dengan hukum syarak, maka forum yang sesuai untuk semakan adalah Mahkamah Syariah.” (Terjemahan saya).

Perenggan ini amat jelas mengenai pembahagian bidang kuasa di antara Makhamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Tetapi, untuk membolehkan Mahkamah Syariah mendengar permohonan seperti itu, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 perlulah dipinda dan seksyen 66A baharu dimasukkan khusus untuk membolehkan cabaran dibuat mengenai perkara akidah atau kesahihan kandungan fatwa yang diuji bertentangan dengan hukum syarak.

“[45] Tidak jelas dalam rekod bahawa seksyen 66A bertujuan untuk meliputi perkara undang-undang Islam sahaja dan bukan perkara dalam bidang undang-undang awam dan/atau kuasa undang-undang awam. Apabila peruntukan itu dilemparkan secara umum dan tanpa had, adalah tidak dibenarkan bagi Mahkamah sama ada untuk membaiki atau membuat semula statut tersebut. Satu-satunya tugasnya adalah untuk membatalkannya dan menyerahkannya kepada SSLA (Dewan Undangan Negeri Selangor), jika ia mahu, untuk menggubalnya semula selaras dengan perkara 1 Senarai Negeri…” (Terjemahan saya).

Perlu ditekankan bahawa Mahkamah membuat keputusan mengenai soalan yang dikemukakan kepadanya iaitu sama ada seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 berperlembagaan dan sah, atau tidak. Sambil memutuskan bahawa seksyen itu tidak sah dan batal ia tidak mengatakan bahawa Mahkamah Syariah tidak boleh diberi kuasa melakukan semakan kehakiman langsung. Kuasa itu boleh diberi tetapi setakat mengenai persoalan berkaitan dengan perkara akidah atau kesahihan kandungan fatwa sama ada ia bertentangan dengan hukum syarak, atau tidak. Bagi saya, itu adalah satu keputusan yang betul.

Perlu diingati semula bahawa semakan kehakiman adalah remedi undang-undang awam yang berkembang (evolved) di mahkamah sivil (common law courts) dalam tempoh beratus tahun. Tidak mengapa jika ia hendak diambil pakai di Mahkamah Syariah asalkan ia tidak bercanggah dengan Hukum Syarak dan peruntukan Perlembagaan seperti mana peruntukan-peruntukan Kanun Acara Jenayah dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1950 dijadikan Enakmen Aturcara Jenayah Syariah dan Enakmen Aturcara Mal Syariah. Tetapi, menjadikannya undang-undang Negeri atas nama memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghalang prosiding yang sedang berlangsung di Mahkamah Sivil, apatah lagi apabila ia bercanggah dengan peruntukuan Perlembagaan, seperti yang dilakukan dalam kes ini, adalah tidak betul.

Biar apa pun, rayuan yang masih berada di Mahkamah Rayuan itu eloklah didengar dan diputuskan. Secara peribadi, saya ingin melihat sama ada penghakiman Mahkamah Persekutuan itu serupa dengan pandangan saya dalam rencana saya yang lebih awal itu atau tidak dan, jika ya, setakat mana.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button