Berita UtamaDunia

Lebih 1.7 juta rakyat Ukraine larikan diri ke Eropah Tengah

Bakal cecah 5 juta pelarian jika pengeboman Russia ke atas Ukraine berterusan

PRZEMYSL, 5 Syaaban 1443H, Selasa – Lebih 1.7 juta rakyat Ukraine yang melarikan diri daripada pencerobohan Russia setakat ini telah menyeberang ke Eropah Tengah, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

Poland – yang mempunyai komuniti Ukraine terbesar di Eropah Tengah – menerima lebih satu juta pelarian Ukraine sejak konflik bermula pada 24 Februari lepas.

“Ini adalah tragedi sejuta manusia, seramai satu juta orang dihalau dari rumah mereka akibat perang,” kata agensi kawalan sempadan Poland menerusi akaun Twitter, semalam.

Kira-kira 1,735,068 orang awam – kebanyakannya wanita dan kanak-kanak kerana lelaki tinggal di rumah untuk berperang – setakat ini telah menyeberangi sempadan ke Eropah Tengah, kata UNHCR.

“Kesatuan Eropah (EU) menjangkakan jumlah pelarian Ukraine boleh mencecah 5 juta jika pengeboman Russia ke atas Ukraine berterusan,” demikian kata diplomat tertinggi EU, Josep Borrell.

Russia menggelar tindakannya di Ukraine sebagai ‘operasi khas’.

Beberapa rakyat Ukraine telah pun melalui Eropah Tengah, menuju ke barat.

Di Brussels, pelajar berusia 20 tahun dikenali sebagai Katerina Debera berkata, dia berharap dapat membina kehidupan normal di Belgium.

“Saya hanya mahu hidup dengan aman dan dalam kebebasan. Dan saya berharap di sini ia akan menjadi kenyataan,” katanya kepada Reuters. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button