Berita Utama

MAIPs fail permohonan mencelah petisyen perceraian Loh Siew Hong

Mahu pastikan kebajikan anak-anak mualaf serta akidah mereka sentiasa terjaga

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 5 Syaaban 1443H, Selasa – Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memfailkan permohonan untuk mencelah petisyen perceraian di antara Loh Siew Hong dengan bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy yang kini memeluk Islam bersama tiga anak mereka.

Permohonan MAIPs tersebut telah difailkan melalui Tetuan Chamber of Zainul Rijal.

Peguamnya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, permohonan berkenaan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam yang bertujuan supaya MAIPs mempunyai local standi untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal tersebut.

“Ini adalah khususnya bagi membolehkan MAIPS mendapat akses memberikan bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan dengan Islam kepada tiga kanak-kanak tersebut.

“Selain memberi sokongan dalam bentuk kewangan dari dana zakat dan lain-lain bantuan yang dibenarkan syarak yang disalurkan melalui ibu mereka sendiri, Loh Siew Hong.

“… serta memberi panduan kepada ibunya agar dapat membesarkan tiga remaja mualaf dalam suasana kondusif mengikut syarak, terutama tetapi tidak terhad kepada pemakanan halal dan haram serta lain-lain perkara,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net, hari ini.

Tegas Zainul Rijal, MAIPs tidak mencampuri serta tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian serta penceraian pasangan berkenaan sebaliknya, peranan MAIPs hanyalah semata-mata bagi memastikan kebajikan anak-anak mualaf serta akidah sentiasa terjaga.

“Apatah lagi mereka komited sebagai muslim dan agar mereka mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan dari sudut kewangan, pendidikan dan sosial,” katanya.

Zainul Rijal berkata, walaupun berada dalam jagaan Loh, tiga remaja berkenaan boleh dilihat menzahirkan iktikad dan keazaman melalui perbuatan dan tingkah laku untuk terus berada dalam agama Islam.

Pada masa sama, Zainul Rijal turut menegaskan, permohonan mencelah yang difailkan MAIPs tidak sama sekali akan menafikan hak Loh sebagai ibu kandung.

Justeru, beliau mengharapkan tiada pihak yang cuba mengecam dan mengapi-apikan sentimen kebencian yang bersifat keagamaan atau perkauman sempit.

Hakikatnya, beliau berkata, Islam adalah agama rahmah yang menitikberatkan hubungan anak-anak dengan ibu tanpa mengira apa agama sekali pun.

21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu kandung mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button