Berita Utama

PRN Johor: 87 peratus pengundi awal selesai laksana tanggungjawab

63 pusat mengundi babit 83 saluran dibuka bermula 8 pagi tadi

BANGI, 5 Syaaban 1443H, Selasa – Sebanyak 87 peratus atau 18,625 pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melaksanakan tanggungjawab masing-masing di pusat pembuangan undi yang dibuka sejak 8 pagi tadi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi awal itu membabitkan anggota tentera dan pasangan, serta anggota polis dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan baik pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 63 pusat mengundi membabitkan 83 saluran dibuka bermula 8 pagi bagi proses pengundian awal PRN Johor.

Sebanyak 29 pusat mengundi awal ditutup jam 12 tengah hari tadi, dengan lapan lagi ditutup pukul 2 petang, manakala 26 pusat mengundi awal lagi ditutup 5 petang.

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini, dengan hari pengundian PRN Johor ditetapkan Sabtu, 12 Mac ini melibatkan kira-kira 2.57 juta pengundi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button