Berita Utama

Speaker tegur MP kempen PRN Johor di Dewan Rakyat

Azhar minta Ahli Parlimen kurangkan politik, tumpu isu rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Syaaban 1443H, Selasa – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menegur sikap Ahli Parlimen yang cuba ‘berpolitik’ semasa persidangan Dewan Rakyat termasuk berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Teguran itu diberikan selepas Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) membangkitkan mengenai peruntukan PRN Johor sebanyak RM150 juta yang katanya lebih baik digunakan untuk membantu penternak ayam untuk menstabilkan harga ayam.

“Saya ingin menyeru kepada Yang Berhormat semua kalau boleh kurangkan sikit politik di dalam Dewan, kita tumpukan isu rakyat, maksud saya janganlah berkempen (pilihan raya) di Dewan Rakyat,” kata Azhar di sini hari ini.

Akmal Nasrullah menyatakan perkara itu ketika membangkitkan soalan tambahan mengenai harga ayam kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid ketika sesi soal jawab.

“Isu ayam yang timbalan menteri sebut tadi, puncanya kerana kos, sekarang ini kerajaan bagi subsidi 60 sen untuk stabilkan harga ayam, setujukah timbalan menteri daripada kita belanja RM150 juta untuk PRN Johor lebih baik bantu stabilkan harga sebab rakyat tengah susah sekarang ini, bukan stabilkan politik.

“Rakyat Johor hendak tahu, kenapa mereka perlu masuk (terlibat) dalam PRN sedangkan harga barang sedang naik,” katanya.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen juga didapati menyentuh mengenai PRN Johor di Dewan termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) ketika menutup perbahasan Titah Diraja.

“Sebelum saya duduk, saya nak sebut di sini Pengerang Jaga Pengerang, Johor Jaga Johor, insya-Allah N38 dan N39 dimenangi oleh Barisan Nasional,” kata Azalina.

Begitu juga Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz semalam yang sempat membuat pesanan kepada pengundi Johor terutama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan mengundi awal hari ini supaya membuat keputusan terbaik memilih calon yang berintegriti.

Ahli Parlimen Tanah Merah daripada Bersatu ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab sempat berpantun yang berbunyi: 

“Debaran PRN Johor semakin terasa, Esok anggota tentera keluar mengundi; Demi bangsa Johor yang sejahtera, Pilihlah calon yang berintegriti.” – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button