Berita Utama

Solat jemaah tanpa penjarakan sosial dinanti umat Islam

Pengumuman PM ambil kira penilaian risiko KKM, pandangan Jakim

BANGI, 6 Syaaban 1443H, Rabu – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April depan.

Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pengumuman semalam itu adalah terjemahan kepada kejayaan usaha-usaha kerajaan bagi menangani krisis kesihatan COVID-19, selain kerjasama erat daripada Keluarga Malaysia.

Bahkan katanya, pengumuman Perdana Menteri berkaitan aktiviti solat jemaah di masjid atau surau boleh dilaksanakan tanpa penjarakan sosial adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh umat Islam.

“Pengumuman ini dibuat berasaskan fakta dan data, juga setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan yang dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Ia adalah berita gembira buat umat Islam untuk menyambut bulan Ramadan nanti. Walaubagaimanapun, pelaksanaan perkara ini dan SOP akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri-negeri,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Susulan perkembangan itu, Idris berharap agar institusi masjid dan surau terus dimakmurkan dengan aktiviti ibadah, majlis dan halaqah ilmu serta lain-lain program pembinaan modal insan dan kemasyarakatan.

Katanya, ia amat penting untuk memperkukuh jati diri serta penghayatan beragama.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru kepada umat Islam untuk terus berdoa serta bermunajat agar rakyat dan negara terus dipelihara daripada sebarang kemudaratan dan bencana.

“Adalah dicadangkan kepada masjid dan surau untuk terus mengadakan solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan buat rakyat dan negara,” sarannya.

Pautan terdahulu;

‘Imam dah boleh sebut rapatkan saf’: Ismail Sabri

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button