Berita Utama

984 kotak produk habbatus sauda tak berdaftar dirampas

Orang ramai dinasihat waspada beli produk kesihatan dalam talian

BANGI, 6 Syaaban 1443H, Rabu – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas 984 kotak produk disyaki mengandungi habbatus sauda tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan (KKM) yang dianggarkan bernilai RM32,500.

Rampasan itu dibuat dalam serbuan yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, (CPF JKNS) ke atas sebuah premis yang dilaporkan menjalankan perniagaan atas talian produk tidak berdaftar dengan KKM di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata, siasatan awal mendapati produk habbatus sauda berkenaan dipercayai telah diseludup dari luar negara tanpa melalui pintu masuk negara yang sah.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

“Sehubungan itu, JKNS menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk-produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik boleh dibuat dengan melayari www.npra.moh.gov.my/ atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebarang aduan berkaitan produk-produk boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov atau mana-mana cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button