Berita UtamaDunia

Kebenaran pensyarah asing di universiti Palestin tertakluk bawah Israel

Permohonan visa perlu dikemuka di konsulat Israel sebelum ke Tebing Barat

TEL AVIV, 6 Syaaban 1443H, Rabu – Kementerian Pertahanan Israel dilaporkan merancang untuk memutuskan pensyarah asing yang dibenarkan mengajar di universiti Palestin di Tebing Barat yang diduduki, termasuk topik yang dibenarkan untuk diajar.

Menurut akhbar Israel Haaretz, satu set peraturan baharu dikeluarkan Penyelaras Aktiviti Kerajaan dan Wilayah Israel (COGAT), kementerian akan membenarkan institusi pengajian tinggi Palestin menggajikan pensyarah dari luar negara hanya jika mereka memenuhi kriteria khusus yang ditetapkan oleh negara pengganas itu.

Antaranya, pensyarah dan penyelidik itu perlu cemerlang, dengan sekurang-kurangnya ijazah kedoktoran (PhD).

Mereka perlu mengemukakan permohonan visa di konsulat Israel di negara mereka sebelum ke Tebing Barat.

COGAT menetapkan bilangan visa mengajar yang terhad – tidak akan melebihi 100 – menurut Haaretz.

Peraturan baharu itu dikeluarkan bulan lalu oleh jeneral tentera di COGAT, namun akan berkuat kuasa awal Mei.

Terdapat juga had tahunan sebanyak 150 visa yang dikeluarkan kepada pelajar antarabangsa yang ingin belajar di universiti Palestin.

Haaretz melaporkan COGAT dan Kementerian Pertahanan akan mempunyai kuasa untuk menyekat subjek akademik yang diambil oleh pelajar antarabangsa, yang juga perlu melalui temu duga di konsulat Israel sebagai sebahagian daripada permohonan visa mereka.

Satu dokumen yang diminta COGAT untuk diserahkan sebagai sebahagian daripada permohonan visa oleh pelajar atau pensyarah ialah surat jemputan rasmi yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Visa pensyarah dan pelajar akan sah selama setahun, dengan kemungkinan dilanjutkan.

Pensyarah boleh mengajar maksimum lima tahun bukan berturut-turut, tetapi mereka perlu meninggalkan negara itu selama sembilan bulan selepas 27 bulan mengajar, untuk mematuhi peraturan Israel.

Pelajar antarabangsa boleh tinggal selama empat tahun untuk melengkapkan ijazah sarjana atau pasca kedoktoran mereka dan kemudian mereka perlu pulang.

Prosedur baharu ini akan merangkumi semua pelajar dan ahli akademik yang ke Tebing Barat dari negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, termasuk United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, menurut Haaretz, warga Jordan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi, yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, hanya boleh memohon visa pengajaran dan pengajian yang lebih pendek di bawah peraturan yang ketat.

Peraturan baharu itu juga akan menentukan masa visa pekerja di pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Palestin dan untuk pelabur dan ahli perniagaan yang ingin bekerja di Tebing Barat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button