Berita Utama

Perkasa syariah: PEMBELA Pahang serah memorandum pada Muip

Pastikan jawatankuasa teknikal kaji undang-undang syariah negeri untuk ditambah baik

KUANTAN, 6 Syaaban 1442H, Rabu – Usaha menyerahkan memorandum pemerkasaan undang-undang syariah diteruskan lagi, hari ini dengan penyerahan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Pahang.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain.

Pengerusi PEMBELA Pahang, Datuk Syed Nasarudin Syed Abdul Hadi berkata, ia supaya Muip dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkasakan perundangan syariah di negara ini.

Menjelaskan usaha itu, beliau berkata, perundangan syariah seolah-olah tidak lagi mendapat tempat yang sewajarnya dan dianggap asing dalam sistem perundangan negara sejak kebelakangan ini.

Walhal, katanya, sejarah perundangan asal negeri-negeri jelas mengangkat perundangan syarak. 

“PEMBELA Pahang ingin menegaskan bahawa perundangan syariah perlu diperkasakan agar setiap penghakiman dibuat selari syarak dan sesuai dengan kerangka asas negara ini,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.

Dalam pada itu, PEMBELA Pahang menyeru Muip dan pihak berkuasa agama di negeri-negeri memastikan jawatankuasa teknikal sedia ada mengkaji Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah negeri untuk ditambah baik.

“Pada masa sama, minta jawatankuasa teknikal itu dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya penuh yang bebas bagi memastikan kelancaran proses mensyariahkan perundangan negara.

“Jawatankuasa Pelantikan Hakim juga digesa berfungsi menilai calon-calon hakim yang akan dilantik memahami perundangan watan dan syariah,” katanya.

Katanya, Muip dan pihak berkuasa agama negeri-negeri juga digesa berusaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu sebagai rujukan utama dalam proses kehakiman dan perundangan negara ini.

“Langkah itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kekhilafan dalam penafsiran istilah-istilah yang ada di dalam Perlembagaan hingga berlaku keputusan yang tidak mengikut syarak dan menjejaskan umat Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button