Berita Utama

Fasa endemik: Kelonggaran beribadah patut diberi jika mudarat dibendung

Solat jemaah tanpa penjarakan fizikal berita gembira kepada umat Islam

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Syaaban 1443H, Khamis – Umat Islam dinasihatkan untuk mematuhi ketetapan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing bagi melaksanakan aktiviti solat jemaah di masjid atau surau.

Ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Keputusan itu dibuat berikutan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula bulan hadapan.

Menurut Ismail Sabri, isu itu merupakan isu besar yang sering diperkatakan rakyat terutamanya membabitkan ‘rapatkan saf’ ketika solat jemaah.

“Jadi imam selepas ini boleh mengatakan rapatkan saf kerana kita tidak lagi menetapkan perlu ada satu meter penjarakan sosial.

“Walau bagaimanapun, oleh kerana di dalam Perlembagaan Persekutuan, perkara berkaitan agama Islam terletak di bawah kuasa negeri, di bawah kuasa Sultan di negeri-negeri, walaupun saya sebutkan tiada penjarakan fizikal lagi, itu adalah cadangan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kalau kerajaan negeri ingin menetapkan, Majlis Agama Negeri tetapkan perlu ada penjarakan fizikal, kita serahkan kepada kerajaan negeri kerana mereka ada hak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas perkara itu, Pengarah Sekretariat Majlis Ulama Isma (MUIS), Ustaz Syamil Esa menyifatkan keputusan kerajaan dalam menamatkan penjarakan fizikal di masjid adalah suatu berita gembira kepada umat Islam.

“Memandangkan keadaan kita hari ini sudah menuju ke arah menganggap COVID-19 sebagai endemik, sepatutnya kelonggaran demi kelonggaran mula diberikan khususnya bagi melaksanakan ibadah di surau dan masjid, seperti mengehadkan bilangan tertentu, menjarakkan saf dan seumpamanya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Jelasnya, ia bertepatan dengan kaedah syarak yang memberikan keringanan berkadaran dengan kadar kemudaratan.

“Dalam bab ini, apabila kemudaratan sudah mula dibendung, sepatutnya keringanan yang berupa jarak saf dan hadkan bilangan di masjid, sudah patut diangkat dan dikembalikan kepada status asal.

“Mudah-mudahan Allah mengembalikan kita kepada keadaan normal seperti sebelum ini, agar kita dapat menunaikan ibadah dengan lebih sempurna,” katanya.

Pautan terdahulu;

https://ismaweb.net/2022/03/09/solat-jemaah-tanpa-penjarakan-sosial-dinanti-umat-islam/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button