Berita Utama

LGBT bertentangan agama, moral dan budaya

Kerajaan wujudkan PTSI tangani gejala sosial dalam masyarakat

BANGI, 7 Syaaban 1443H, Khamis – Kerajaan memandang serius isu berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dilihat semakin membimbangkan mutakhir ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kegiatan itu bukan sahaja salah dari aspek undang-undang jenayah Syariah, bahkan juga dari aspek undang-undang sivil.

Tegasnya, di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah.

“Negara ini berpegang kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan yang menerapkan nilai moral berlandaskan adat, budaya serta agama, maka LGBT adalah bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Che Alias Che Hamid (PAS – Kemaman) yang bertanya rancangan kerajaan menggubal suatu dasar khusus bagi membasmi penularan budaya LGBT yang semakin menular dalam negara.

Mengulas lanjut, Idris berkata, kerajaan melalui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sudah menegaskan dalam kenyataannya pada 16 Jun 2019 di Cambridge Union, United Kingdom, bahawa Malaysia bertegas tidak akan mengalah kepada sebarang tekanan untuk menerima amalan songsang dalam kalangan rakyat negara ini, terutama membabitkan unsur LGBT.

“Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia seharusnya berpegang teguh kepada nilai-nilai moral berlandaskan adat, budaya dan agama yang sekian lama diterapkan di kalangan masyarakat tempatan.

“Justeru, kerajaan berharap agar isu sosial melibatkan golongan LGBT ini dapat diberikan perhatian oleh semua pihak termasuk NGO dan masyarakat awam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif dengan membangunkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019-2025 bagi menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

Ia membabitkan pelbagai isu seperti ketagihan dadah, remaja hamil (tidak berkahwin), pembuangan bayi, perceraian, gelandangan, penularan virus HIV/AIDS, ketagihan arak, seks bebas, sumbang mahram, jenayah juvana, amalan gaya hidup songsang dan sebagainya.

“Pelaksanaan PTSI juga mendukung Dasar Sosial Negara bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button