Berita Utama

Gesa kerajaan rangka dasar lindungi pekerja muslim, elak keterlibatan jual beli arak

Tindakan majikan paksa pekerja laku perkara terlarang dalam Islam, satu pencabulan hak asasi manusia

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 7 Syaaban 1443H, Khamis – Tiba masanya kerajaan merangka dasar bagi melindungi hak-hak pekerja Muslim dan menjaga kebajikan mereka daripada melakukan perkara terlarang termasuk terlibat dalam jual beli arak.

Amat menyedihkan apabila sehingga kini negara belum memiliki sebarang polisi atau undang-undang yang melarang majikan daripada mendiskriminasi hak pekerja Muslim.

Sehingga kini masih ada majikan memaksa pekerja Muslim melakukan perkara-perkara terlarang di sisi agamanya, demikian kata Pegawai Dakwah gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Bangi, Yusra Noor.

“Pengharaman arak dan larangan terlibat dalam proses menyediakan dan menghidangkannya adalah termasuk dalam kategori al-ma’lum min ad-Dín Bi ad-Dhorurah (المعلوم من الدِين بالضرورة), iaitu perkara yang sudah diketahui umum tentang hukumnya di dalam agama.

“Namun sayangnya, masih ada lagi umat Islam yang terlibat dalam mengendalikannya samada, melabur dalam saham syarikat dan perniagaan arak, menghadiri majlis yang menghidangkan arak, bahkan bekerja di premis yang menjual arak.

Yusra berkata, masih ada pekerja Muslim yang terpaksa mengendalikan arak di kedai serbaneka, industri perhotelan serta penerbangan.

Beliau menyifatkan situasi berkenaan sebagai satu isu pencabulan hak asasi manusia.

Tegasnya, isu berkenaan dilihat sama seperti melarang pekerja Muslim daripada menunaikan solat Jumaat dan memaksa pekerja wanita menanggalkan tudung.

“Pekerja Muslim yang tidak mahu terlibat dalam mengendalikan arak sewaktu bekerja sepatutnya dipelihara haknya kerana ia adalah sebuah manifestasi beragama berdasarkan dalil dalam ajaran Islam.

“Justeru, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan dalam perkara ini dan sekali gus merangka dasar selain melindungi hak-hak pekerja Muslim,” katanya.

Yusra dalam masa sama berpandangan, kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak juga merupakan inisiatif yang baik untuk mendapat sokongan masyarakat mendesak majikan supaya tidak melibatkan pekerja Muslim dalam pengendalian arak.

Bukan sekadar itu, kempen gergasi tersebut diyakini mampu mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) menghentikan penjualan arak di kawasan majoriti Muslim.

Pada 5 Februari lalu, ISMA dan Yayasan Maghfirah bersama 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bergabung seperti PEACE, Indahnya Islam, PEMBELA dan ACCIN bagi membawa satu kempen gergasi kepada rakyat Malaysia berkenaan bahaya arak kepada masyarakat.

Malah ,dalam tempoh tiga hari dilancarkan berjaya menghimpun hampir 10,000 tandatangan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin.

Menerusi laman change.org, penggerak kempen menjelaskan, kempen yang dilancarkan itu bukan sahaja disasarkan kepada orang Islam, namun untuk setiap lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button