Berita Utama

Mufti Pahang puji kesungguhan PEMBELA serah memorandum perkasa syariah

Kebanyakan kekalahan kes syariah kerana faktor teknikal, hingga kita kehilangan hak sebenar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 7 Syaaban 1443H, Khamis – “Usaha Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) wajar menjadi contoh serta peringatan kepada semua pihak supaya tidak melihat perundangan syariah sebagai sesuatu yang lemah, dan bergerak ke arah memartabatkan semula kedudukannya.”

Demikian kata Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang melihat kesungguhan PEMBELA menghantar memorandum pemerkasaan undang-undang syariah kepada semua majlis agama negeri seluruh negara.

“Ini semua adalah usaha untuk memulihkan semula kedudukan perundangan syariah di negara kita yang selama ini dibiarkan begitu sahaja tanpa pembelaan sewajarnya.

“Sekiranya tiada usaha sedemikian tidak mustahil sistem perundangan syariah negara semakin diketepikan.

“Sedangkan kita sebuah negara Islam, sepatutnya kita perlu tegakkan perundangan syariah ini dan memberi keutamaan kepada perundangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyerahan memorandum pemerkasaan undang-undang syariah kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) oleh PEMBELA Pahang, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya bersama perwakilan negeri-negeri menghantar memorandum secara serentak kepada majlis agama Islam negeri masing-masing, Selasa lalu.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, beliau melihat langkah PEMBELA menghantar memorandum sebagai satu langkah yang tepat bagi meletakkan kedudukan sebenar perundangan syariah dalam negara.

“Ini adalah permulaan, sekiranya bukan kita yang mulakan siapa lagi yang mahu pertahankan sistem perundangan syariah yang menjadi tunggak kepada perundangan sebenar,” katanya.

Beliau turut melahirkan kekecewaaan berikutan banyak kekalahan melibatkan kes-kes perundangan syariah di negara yang kesemuanya berpunca daripada kelemahan sistem perundangan ini sendiri.

“Sedangkan semuanya bukan disebabkan fakta tetapi disebabkan faktor teknikal yang digunakan menyebabkan kita kehilangan hak yang sebenar,” katanya.

Justeru, perundangan syariah perlu ditempatkan di kedudukan yang sebenar sekali gus ditegakkan.

Malah, tegasnya, menjadi kewajiban kepada semua umat Islam di negara ini untuk mempertahankannya.

Pautan terdahulu;

Perkasa syariah: PEMBELA Pahang serah memorandum pada Muip

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button