Artikel Khas

Mulia wanita kerana Islam

Malang bila ada di kalangan feminis anggap Islam penyebab terkebelakang

Selamat Hari Wanita

Kisah wanita muslimah merupakan kisah wanita-wanita mulia dan hebat. Mereka  tegas dan asertif dalam pendirian dan membuat keputusan serta memilih jalan “greater good” atau kebaikan yang lebih besar demi membina masyarakat dan tamadun. Ianya bukan kisah perjuangan menegakkan hak individualistik, bukan perjuangan menegakkan budaya hedonisme, budaya berfoya-foya tanpa mengira apa kesan dan akibatnya kepada masyarakat secara umum.

Dan kesemua wanita ini menjalankan tugas mereka atas dasar “free-will” dan rela tanpa dipengaruhi atau dipaksa oleh golongan lelaki. Mereka menjalankan tugas mereka sebagai seorang khalifah di muka bumi Allah setelah mendengar wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah.

Inilah naratif kemuliaan seorang wanita dalam Islam.

MULIA DENGAN KETAATAN

Kisah wanita muslimah bermula dengan Saidatina Khadijah yang berkeperibadian tinggi. Dari awal perkahwinannya dengan Rasulullah beliau menjalankan tugasnya sebagai isteri yang bukan sahaja menyiapkan makan pakai sang suami, malah lebih daripada itu. Beliaulah tempat mengadu, tempat meminta pendapat dan tempat mendapatkan ketenangan. Walaupun Rasulullah hidup di zaman jahiliyyah yang menyaksikan wanita diperkotak-katikkan oleh masyarakat, Baginda SAW mengangkat darjat seorang isteri bukan sahaja sebagai peneman hidup, malah sebagai seorang pasangan yang berkongsi suka-duka dan tanggungjawab rumah tangga. Kesudahan Saidatina Khadijah merupakan kesudahan yang cukup menggembirakan. Di saat-saat akhir hayat beliau, beliau bertanya sekiranya ada manfaat tulang-belulangnya yang bakal ditinggalkan selepas meninggal dunia, nescaya ingin dileburkan dan diberikan kepada Rasulullah untuk digunakan demi kebaikan Islam. Keikhlasannya datang bukan kerana “diperintahkan” oleh suami, jauh sekali kerana ditindas oleh suami, malah, ianya lahir dari dalam diri seorang wanita merdeka yang menjadikan pusat tumpuan hidupnya bukanlah diri sendiri semata tetapi bangsa dan agama. Malaikat Jibril turun ke bumi untuk menyampaikan salamnya serta salam Allah kepada Saidatina Khadijah atas pengorbanannya yang terlalu hebat demi agama ini. Allah berjanji untuk menyediakan sebuah rumah yang diperbuat daripada buluh-buluh emas baginya di syurga.

MULIA DENGAN ILMU DAN KEPINTARAN

Saidatina Aishah pula merupakan “Professor” wanita pertama di dunia walaupun tidak pernah diiktiraf barat. Pada ketika tersebut, tidak ada ketamadunan dunia yang mengiktiraf kecerdikan dan kepintaran wanita dan meletakkan wanita hanya sebagai objek pemuas nafsu. Namun, Islam telah memartabatkan wanita melalui perkahwinan Rasulullah dengan Saidatina Aishah di usia yang muda. Tidak seperti pandangan tubular feminis, perkahwinan bukanlah penghalang kejayaan dan kehebatan seorang wanita dan ianya dibuktikan oleh Saidatina Aishah. Kecergasan minda serta sifat penuh ingin tahu yang ada pada beliau di usia yang sedemikian telah membolehkan Saidatina Aishah memerhati, menelaah dan faham segala perbuatan, percakapan dan gerak-geri Rasulullah supaya akhirnya beliau menjadi rujukan utama para sahabat dan sahabiat  mengenai hadis serta syariat. Siapa sangka adat resam ketika itu yang tidak pernah meletakkan wanita di kedudukan yang tinggi apatah lagi sebagai ulama, berjaya diubah dengan kedatangan Islam yang tidak membezakan kedudukan lelaki dan wanita.

MULIA WANITA DENGAN PENDIRIAN ISLAM YANG TEGAS

Sifat pendirian tegas boleh kita lihat pada sahabiyat Rasulullah SAW bernama Ummu Sulaim atau nama sebenarnya Rumaisa’ bint Milhan. Beliau telah meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi dalam hidupnya hingga sanggup berpisah dengan suami yang ingin kekal dalam jahiliyah. Beliau telah memeluk Islam dan ikut berbaiah di saat suaminya ketika itu (Malik bin An-Nadhar, ayah kepada Anas bin Malik) berada di luar Madinah. Sekembali suaminya ke Madinah, beliau memarahi isterinya dengan berkata, “Apakah engkau telah murtad?”. Ummu Sulaim lantas menjawab dengan tegas,  “Aku tidak murtad, tetapi aku telah beriman dengan orang ini (Rasulullah)”.

Beliau kemudiannya dilamar oleh Abu Talhah Al-Ansary yang ketika itu masih seorang musyrik. Ummu Sulaim menjawab lamaran tersebut dengan berkata “Wahai Abu Talhah, lelaki seperti engkau tidak layak untuk ditolak. Tetapi engkau seorang kafir, sementara aku wanita Muslimah dan tidak mungkin bagiku untuk menikahi engkau”

Abu Talhah segera bertemu Rasulullah SAW dan memberitahu baginda apa yang dikatakan Ummu Sulaim. Akhirnya, Abu Talhah memeluk Islam di hadapan baginda dan para sahabat. Beliau juga bersetuju menikahi Ummu Sulaim dengan mahar keIslamannya.

Tsabit bin Aslam Al-Banany, salah seorang Tabi’in berkata, “Kami tidak pernah mendengarkan mahar yang lebih indah dari maharnya Ummu Sulaim, iaitu Islam!

MULIA KERANA MENAHAN NAFSU DAN GODAAN SYAITAN

Hati akan sentiasa diuji dengan nafsu dan godaan syaitan. Tambahan lagi kehidupan dalam dunia masa kini yang dipenuhi dengan pelbagai tipu daya dan keindahan dunia. Semuanya menjanjikan kecantikan dan keindahan yang sekiranya tersilap pilih boleh membawa seseorang jauh dari Islam yang sebenar.

Kisah Siti Hajar yang diuji naluri keibuan tatkala turunnya perintah Allah agar anak kesayangannya Nabi Ismail disembelih sangat meruntun jiwa. Kekuatan Siti Hajar dalam melawan godaan syaitan tatkala membisikkan agar beliau menghalang Nabi Ibrahim dari menyembelih anaknya memberikan teladan terbaik buat wanita. Seorang wanita perlu kuat dalam menahan diri dari godaan nafsu dan syaitan. Siti Hajar yakin bahawa suaminya tidak melakukan demikian melainkan ia adalah suruhan dari Allah SWT. Namun ujian terhadap Siti Hajar menjadi berita gembira kerana Allah akhirnya menggantikan anaknya dengan kibasy.

MULIA WANITA DENGAN ISLAM

Wanita akan mulia apabila meletakkan Allah dan Rasul sebagai panduan dan rujukan. Menjadikan para sahabiat sebagai ikutan. Seterusnya menjadikan Islam sebagai cara kehidupan. Maka jadilah ia wanita solehah yang menjadi perhiasan dunia.

Wanita akan mulia apabila hidup mengikut fitrah yang Allah telah kurniakan menjalankan fungsi sebagai seorang wanita seperti mana yang diciptakan oleh Allah SWT. Wanita dihargai kerana menjalankan fungsi  sebagai seorang wanita. Namun wanita tidak pernah dihalang dari menuntut ilmu dan menyumbang kepada negara asalkan mereka tidak meninggalkan tugas asasinya di rumah sebagai isteri dan ibu.   Malah wanita turut diberikan fleksibiliti untuk memilih rumah sebagai sanktuari tanpa sebarang dosa kerana tugas mereka di rumah juga sama pentingnya.

Wanita itu mulia apabila ia dapat mengawal dan mengurus emosinya dengan baik.  Apabila baginda SAW menyatakan bahawa wanita itu diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok, ia bukanlah satu kerendahan bahkan hakikatnya ianya satu kemuliaan dan kelebihan buat wanita. Kita sedia maklum bahawa Allah SWT telah menjadikan wanita itu diciptakan mempunyai emosi dan perasaan yang tinggi serta hati yang lebih lembut berbanding kaum lelaki. Emosi dan perasaan yang tinggi serta hati yang lebih lembut berbanding kaum lelaki hakikatnya amat diperlukan oleh para wanita dalam ia menunaikan tugasnya yang asasi. Fitrah wanita inilah menjadikannya seorang wanita, isteri dan ibu yang hebat yang dapat menunaikan tanggungjawab menerusi kekuatan fitrahnya.

Wanita itu mulia apabila ia dapat menunaikan tanggungjawab dengan penuh rasa ikhlas dan mengharapkan redha Allah. Berkhidmat untuk ibu ayah persis Saidatina Fatimah berkhidmat untuk ayahandanya. Sehingga beliau digelar ummu abiha dek kerana layanan terbaik yang diberikan. Wanita yang mulia adalah apabila ia menjadi isteri yang disenangi suami. Persis Saidatina Khadijah yang menjadi isteri yang disenangi baginda SAW. Kerana itu wanita dianggap tiang bagi sesebuah rumah. Apabila elok tiang eloklah rumahnya. Apabila tiang reput, akan runtuhlah binaannya. Menurut Hamka, biasanya tiang tidak begitu kelihatan akan tapi fungsinya yang berada di sebalik dinding adalah asas pada terdirinya sebuah rumah.

FEMINIS MERUNTUHKAN KEMULIAAN WANITA

Malang sungguh wanita yang tidak memilih Islam sebagai cara hidup. Malah lebih malang lagi apabila ada di kalangan feminis yang menganggap Islam menjadi penyebab mereka undur dan terkebelakang. Hari ini kita lihat gerakan feminis memperjuangkan pelacuran sebagai hak individu dan menentang institusi perkahwinan. Mereka memperjuangkan pendedahan aurat sebagai hak asasi tanpa mengambil kira eksploitasi wanita yang menyumbang kepada industri pornografi yang betul-betul merendahkan kedudukan wanita. Mereka memperjuangkan kehidupan penuh materialistik yang akhirnya membawa wanita ke kancah durjana dan dibelenggu dengan pelbagai masalah kesihatan mental. Islam membuka ufuk wanita untuk berfikir di luar kebiasaan, menerobos sempadan diri dan menghasilkan perkara luar biasa.

Untuk itu, janganlah terpedaya dengan sogokan gerakan feminis yang bertunjangkan aspirasi barat dan humanisme yang cuba melarikan kita daripada kecintaan kepada Allah dan Rasul, serta mengongkong pemikiran dan keputusan kita dan membelenggu hati ini dengan rantai-rantai material yang tidak berkesudahan.

Selamat Hari Wanita!

Ketua Wanita ISMA
Dr Suriani Sudi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button