Berita UtamaDunia

Rejim Israel rampas pam air, elektrik milik penduduk Palestin di perkampungan Birin

Sengaja musnah paip air sebagai tekanan supaya penduduk tinggalkan kawasan

HEBRON, 7 Syaaban 1443H, Khamis – Tentera pengganas Israel pada Rabu terus bertindak kejam apabila merampas pam air dan elektrik milik penduduk di perkampungan Birin, selatan Tebing Barat.

Ketua Kampung Birin, Fareed Borqan berkata, tentera Zionis menyerbu sebelum bertindak merampas dua pam air dan kabel elektrik yang menjadi sumber utama menyediakan bekalan air dan elektrik kepada penduduk di perkampungan berkenaan.

Mereka dilaporkan berbuat demikian bagi memberi tekanan sekali gus memaksa penduduk meninggalkan perkampungan itu dan mahu memberi laluan kepada peneroka Israel untuk membuat penempatan baharu di kawasan berkenaan.

Sejak kebelakangan ini, perkampungan tersebut sering menjadi sasaran tentera Zionis melakukan serangan berterusan dengan melakukan tindakan kejam terhadap penduduk.

Sebelum ini, pasukan tentera pengganas turut membuat sekatan dan menangkap penduduk tanpa sebab bagi memberi provokasi ke atas penduduk.

Malah, tentera Zionis turut merobohkan beberapa kediaman dan perigi lama milik penduduk Palestin yang diperbuat daripada batu bata.

Bukan itu sahaja, tentera Zionis turut memberi amaran kepada penduduk bahawa perobohan akan dilaksanakan susulan serbuan bulan lepas, di mana tentera mengeluarkan arahan merobohkan 36 bangunan dan telaga air purba di kawasan berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button