Pendapat

Jakim di bawah Majlis Raja-Raja Melayu? Kita tunggu kenyataan rasmi: Shamrahayu

Islam urusan negeri, maka Majlis Raja-Raja punya kuasa budi bicara

“JAKIM diletakkan bawah Majlis Raja-Raja Melayu” – tajuk berita freemalaysiatoday.com (10.Mac.2022 5:39PM)

Assalamu’alaikum wrt wbt. Salam sejahtera untuk semua.
Petang semalam aplikasi Whatsapp saya dihujani mesej berkaitan berita tentang Jakim. Ramai bertanya tentang laporan berita FMT (seperti dalam tajuk di atas) dan juga The Star Exclusive yang bertajuk “Jakim to be under purview of Malay Rulers”. Pagi ini saya cuba membuka laman The Star Exclusive, tetapi ‘page not found’. Namun, berita FMT masih ada. The Star Exclusive tidak menyebut siapa sumber berita mereka, cuma dikatakan sumber dalaman istana dan FMT menyatakan sumber mereka ialah seseorang yang dekat dengan jabatan itu (mungkin merujuk kepada Jakim).

1. Apa pandangan saya tentang kesan perubahan yang berlaku ini?
Saya belum mendapat maklumat atau kenyataan rasmi tentang perkara ini. Oleh itu ulasan saya kepada berita ini lebih kepada penerangan tentang kedudukan Jakim atau nama penuhnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam struktur pentadbiran Islam pada peringkat Persekutuan, bukan tentang laporan berita “JAKIM yang diletakkan di bawah seliaan Majlis Raja-Raja”.
Sekiranya maklumat rasmi atau titah dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong dizahirkan, saya insya-Allah akan cuba mengulas dan memberi pandangan. Media yang membuat laporan tersebut tidak menyatakan sumber berita, cuma disebut dari sumber dalam istana.

2. Jakim tidak berperlembagaan?
Mungkin sebelum ini rakan pembaca pernah mendengar hujah sesetengah pihak bahawa Jakim ini tidak ada tempat dalam Perlembagaan Persekutuan dan penubuhan Jakim dikatakan sebagai tidak berperlembagaan. Maka bertalu-talu juga serangan ke atas Jakim. Sesungguhnya Jakim telah banyak memberikan sumbangan kepada pentadbiran, pendidikan dan juga perundangan Islam. Saya juga telah beberapa kali menjelaskan pandangan saya bahawa Jakim mempunyai asas penubuhan yang sah dan ia adalah berperlembagaan. Mungkin rakan pembaca boleh google kenyataan saya tentang Jakim sebelum ini.

3. Islam Urusan Negeri
Kita semua tahu bahawa Islam adalah urusan negeri dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah adalah Ketua Agama Islam. Maka Agama Islam (termasuk juga adat resam, adat Melayu atau adat istiadat) adalah di bawah kuasa budi bicara baginda. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam. Ini kerana Yang di-Pertua Negeri mungkin tidak menganut agama Islam, jadi adalah difikirkan perlu untuk Yang di-Pertuan Agong mewakili institusi beraja diangkat menjadi Ketua Agama Islam di negeri-negeri tersebut. Apabila pentadbiran Islam di seluruh negara dibuat mengikut negeri dan berasingan, maka Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan untuk mengkaji semula draf laporan dan draf awal Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid telah mencadangkan supaya ditubuhkan satu mekanisme untuk penyelarasan.

4. Mekanisme Penyelarasan Urusan Islam Pada Peringkat Persekutuan
Selain daripada Jakim, mungkin tidak ramai yang mengenali satu institusi Islam yang penting dalam urusan hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan. Institusi tersebut ialah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam. Saya memetik kenyataan Laporan Jawatankuasa Kerja yang dikenali sebagai “Constitutional Proposals for the Federation of Malaya” pada perenggan 60. Laporan tersebut menyatakan seperti berikut:
“If it is found necessary for purposes of co-ordination to establish a Muslim Department of Religious Affairs at federal level, the Yang di-Pertuan Agong will, after consultation with the Conference of Rulers, cause such a Department to be set up as part of his establishment”.
Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa institusi beraja, iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah bertanggungjawab untuk menubuhkan Jabatan/agensi/institusi pada peringkat Persekutuan bagi tujuan penyelarasan.

5. Budi bicara Majlis Raja-Raja
Oleh kerana Islam adalah urusan negeri, maka Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa budi bicara bagi tujuan penyelarasan urusan Islam dengan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memperluas apa-apa perbuatan, amalan atau upacara diperluas ke seluruh Persekutuan dan “setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua Agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya” (Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan). Berkaitan juga untuk dilihat kepada Perkara 38(6)(d) yang memuatkan peruntukan tentang budi bicara Majlis Raja-Raja tentang perluasan perbuatan, amalan dan upacara agama pada keseluruhan Persekutuan.

6. Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI)
MKI ditubuhkan pada 1 Julai 1969 dengan nama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Barat. Ia kemudiannya dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam apabila Sabah dan Sarawak menyertai MKI.
Saya pernah membaca teks ucapan Tunku Abdul Rahman semasa pelancaran MKI. Antara intipati ucapan Tunku ialah untuk menjadikan MKI bukan sahaja sebagai penyelaras kepada hal ehwal Islam seluruh Persekutuan, tetapi juga untuk memajukan Islam kepada negara luar, terutamanya negara sekitar. Diharapkan juga oleh Tunku, dengan pewujudan MKI ini maka akan ditubuhkan Pusat Penyelidikan Islam (Islamic Research Centre) yang boleh mengembangkan Islam di rantau Asia Tenggara. Strategi dakwah dan juga penyelidikan dan penerbitan juga telah dirancang.

7. Jakim adalah Urusetia MKI
Bersesuaian dengan hasrat dan tujuan penubuhan MKI, maka sebuah pejabat Setiausaha MKI telah ditubuhkan di Jabatan Perdana Menteri. Setiausaha MKI pada awalnya ialah Pegawai Perkhidmatan Awam yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Kemudiannya Unit Ugama Jabatan Perdana Menteri telah dilantik sebagai urusetia MKI pada tahun 1970. Pada tahun 1974, urusetia MKI di bawah Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya, urusetia MKI adalah di bawah Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya pada tahun 1997, Jakim adalah urusetia MKI.

8. Peraturan MKI
MKI diurus berasaskan kepada Peraturan MKI yang diluluskan oleh Majlis Raja-Raja. Peraturan ini telah beberapa kali melalui pindaan yang mana kesemua pindaan tersebut adalah atas perkenan Majlis Raja-Raja. Justeru, keurusetiaan MKI yang dilaksanakan JAKIM juga seharusnya berasaskan kepada Peraturan MKI. Pindaan-pindaan tersebut dibuat pada tahun 1971, 1973, 1976, 1980, 2010 dan akhir sekali pada tahun 2011. Saya belum pasti, tapi saya dengar-dengar ada cadangan untuk pindaan Peraturan MKI dalam masa terdekat ini. Kita tunggu berita lanjut.

9. Keahlian MKI
MKI bukan sahaja penubuhannya diperkenan oleh Majlis Raja-Raja, tetapi juga keahliannya juga mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. MKI dipengerusikan oleh seorang yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja atas syor Perdana Menteri. Timbalan Pengerusi juga dilantik oleh Majlis Raja-Raja atas syor Perdana Menteri. Ahli-ahlinya mewakili negeri dilantik oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah di negeri-negeri dan wakil bagi negeri Melaka dan Pulau Pinang dan Wilayah-Wilayah Persekutuan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Bagi negeri Sabah dan Sarawak, wakilnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan perakuan Yang di-Pertua Negeri setelah mendapat nasihat Majlis Ugama Islam negeri masing-masing. Kesemua pekara ini didapati dalam Peraturan MKI, iaitu Peraturan 1.

10. Penutup
Banyak lagi perkara yang saya ingin kongsikan tentang MKI dan Jakim, tetapi saya fikir, bagi menjawab persoalan serta kebimbangan sesetengah pihak tentang perkembangan terbaru, yang dikhabarkan oleh media bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Pengerusi Majlis Agama Kebangsaan (yang sebetulnya MKI) dan dalam berita yang sama, akhbar menyampaikan bahawa Jakim berada di bawah seliaan (The Star (sebelum ini) menggunakan istilah purview) Majlis Raja-Raja. Apa-apa pun, kita tunggu kenyataan atau maklumat rasmi. Tak perlu lompat-lompat dulu.

Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz
Pakar Perlembagaan

Artikel ini telah disiarkan terlebih dahulu di Facebook penulis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button