Berita Utama

Saksama masyarakat Melayu Islam tidak sama dengan tafsiran feminis

Pertikai imej isteri PM pakaikan butang baju Melayu pemikiran sempit

BANGI, 8 Syaaban 1443H, Jumaat – Tindakan pihak tertentu yang menyelar gambar isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memakaikan butang baju Melayu kepada suami beliau sebagai tidak menepati tema sambutan Hari Wanita pada tahun ini, jelas menunjukkan satu pemikiran sempit terhadap maksud saksama.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, saksama bagi masyarakat Melayu Islam tidak sama dengan tafsiran feminis yang mahukan kesamarataan mutlak tanpa sebarang pengecualian.

“Jika mahu difahami begitu, apa-apa kelebihan tertentu yang diberikan kepada pihak lelaki secara automatik akan menjadi suatu bentuk penindasan dan diskriminasi terhadap pihak wanita tidak kira apa pun asas dan justifikasinya, seperti mana yang dilihat melalui perbuatan memakaikan butang baju Melayu suami.

“Tetapi Islam tidak begitu. Kesaksamaan bagi kita adalah keadilan. Keadilan bukan semata-mata apa yang lelaki perolehi mesti diberikan kepada wanita seperti yang sering difahami umum, tetapi keadilan itu ialah meletakkan setiap sesuatu selayaknya dan kena pada tempatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam meraikan perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita, Ahmad Marzuk berkata, hukum-hakam Islam tidak menyebut soal hak semata-mata, tetapi turut mengambil kira soal perbezaan tanggungjawab.

Jelasnya, hak wanita untuk ditaati oleh anak-anak adalah melebihi lelaki sebagai bapa dan ini datang bersama tanggungjawab mengandung, melahirkan dan menyusukan anak sementara hak ketaatan yang diberikan kepada suami pula melepaskan wanita daripada tanggungjawab memberikan nafkah.

“Rata-rata hukum Islam memberikan bentuk hak yang sama kepada lelaki dan wanita, cuma kadarnya yang berbeza bergantung kepada keperluan.

“Contohnya, kedua-dua lelaki dan wanita diberikan hak untuk bekerja dan menyara keluarga, tetapi lelaki diwajibkan menyediakan keperluan asas keluarga, sementara wanita mempunyai pilihan untuk membantu menanggung ekonomi keluarga ataupun tidak.

“Namun begitu, ada juga hak-hak yang khusus diberikan kepada lelaki misalnya hak poligami (bukan wajib) atau hak yang hanya diberikan kepada wanita seperti nafkah,” katanya.

Berikutan itu katanya, perbezaan hukum Islam terhadap lelaki dan perempuan adalah suatu perbuatan yang adil, justeru berlaku adil adalah keimanan.

“Sempena tema ‘Saksama Bersama’ pada tahun ini, kita sangat setuju potensi wanita perlu dioptimumkan sebaiknya dengan menyediakan segenap ruang dan peluang yang adil untuk mereka memajukan diri, mengikut pilihan mereka sendiri, baik sebagai pemimpin, wanita bekerjaya.

“.. mahupun suri rumah sepenuh masa mengikut batas-batas sempadan yang dibenarkan syarak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button