Berita Utama

Siasatan kontroversi gegelang sotong daripada usus babi masih dijalankan

Hasil akan diumum selepas analisa makmal dikeluarkan Jabatan Kimia

BANGI, 8 Syaaban 1443H, Jumaat – Hasil siasatan berhubung gegelang sotong atau sotong ring – yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi – akan diumumkan pihak berkuasa berkaitan selepas keputusan analisa makmal dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak kepada peraturan yang telah ditetapkan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas untuk menjaga kemaslahatan masyarakat.

“Satu perbincangan antara pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta tiga jabatan agama Islam negeri (JAIN) iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) diadakan, baru-baru ini.

“Hasil laporan mesyuarat berkenaan memaklumkan siasatan masih sedang berjalan dan sampel makanan itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisa dan pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, KPDNHEP bersama JAIN yang berkaitan telah mengambil tindakan awal sebaik isu tersebut ditularkan dengan turun padang menjalankan siasatan serta mengambil sampel untuk dianalisis.

Pada masa sama katanya, Jakim telah menghubungi badan pensijilan Halal di China iaitu Shandong Halal Certification Services (SHCS) bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk berkenaan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak KPDNHEP bersama JAIS, JHEAIK dan JAIPs yang tangkas menyiasat serta meneliti isu ini daripada segenap aspek.

“Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Jabatan Kimia Malaysia kerana telah memberikan keutamaan kepada sampel ini untuk dianalisa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button