Berita Utama

Gangguan bekalan air di 13 kawasan KL dijangka pulih esok

Bantuan air alternatif melalui lori tangki digerak ke kawasan terjejas

KUALA LUMPUR, 8 Syaaban 1443H, Jumaat – Gangguan bekalan air tidak berjadual di 13 kawasan sekitar ibu negara susulan insiden paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru dijangka pulih sepenuhnya awal pagi esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan bahawa ketika ini kerja-kerja pembaikan pecah telah siap dilaksanakan dan bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna di kawasan yang terjejas.

Menurut kenyataan itu, tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza mengikut lokasi dan jarak premis.

“Bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengkebumian.

“Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini,” menurut kenyataan itu.

Semalam 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan kawasan yang terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika. 

Untuk maklumat lanjut para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button