Berita UtamaDunia

AS tawar AS$10 juta untuk maklumat kewangan Hamas

Dakwa 5 individu jadi pembiaya kepada Hamas

WASHINGTON, 24 Jamadilakhir 1445H, Sabtu – Negara pencabul hak asasi, Amerika Syarikat (AS) menawarkan sehingga AS$10 juta untuk maklumat mengenai lima pembiaya Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) atau apa-apa yang membawa kepada gangguan mekanisme kewangan kumpulan pejuang Palestin itu.

Kelima-lima mereka adalah Abdelbasit Hamza Elhassan Khair, Amer Kamal Sharif Alshawa, Ahmed Sadu Jahleb, Walid Mohammed Mustafa Jadallah dan Muhammad Ahmad ‘Abd Al-Dayim Nasrallah, yang disifatkan sebagai pengganas oleh AS.

Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pembiaya pertama, dikenali sebagai Hamza, yang berpangkalan di Sudan telah menguruskan banyak syarikat dalam portfolio pelaburan Hamas.

Dakwanya, Hamza juga terbabit dalam pemindahan hampr AS$20 juta kepada Hamas.

“Beliau terikat dengan Presiden Sudan, Omar Bashir dan kumpulan Islam yang ‘menjejaskan’ kestabilan di Sudan,” katanya.

Tiga daripada pembiaya Hamas lain – Amer Kamal Sharif Alshawa, Ahmed Sadu Jahleb, dan Walid Mohammed Mustafa Jadallah – adalah sebahagian daripada rangkaian pelaburan kumpulan itu di Turkiye, dakwa jabatan itu.

Nasrallah mempunyai hubungan rapat dengan entiti Iran dan telah terlibat dalam pemindahan berpuluh juta dolar kepada Hamas, termasuk sayap tenteranya, kata agensi itu. Jabatan itu berkata pada Oktober dia berpangkalan di Qatar.

Tawaran ganjaran itu menyusuli empat sekatan AS ke atas Hamas selepas pencerobohan kumpulan itu ke Israel pada 7 Oktober.

Tindakan balas ketenteraan Israel berikutnya di Gaza telah membunuh 22,600 orang, kata pegawai kesihatan tempatan dan menyebabkan sebahagian besar kawasan itu musnah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button