Dunia

Lebih sejuta pelarian kanak-kanak perang Russia-Ukraine

UNICEF gesa akses kemanusiaan, laluan selamat untuk orang awam

GENEVA, 8 Syaaban 1443H, Jumaat – Lebih sejuta kanak-kanak telah melarikan diri dari Ukraine ketika perang Russia terus melanda negara itu, kata Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Khamis.

Agensi PBB itu berkata, kebanyakan kanak-kanak menyeberang ke Poland, Hungary, Slovakia, Moldova dan Romania bersama keluarga mereka untuk melarikan diri daripada perang.

“Jumlah kanak-kanak yang melarikan diri sangat mengejutkan, satu petunjuk betapa terdesaknya keadaan untuk kanak-kanak dan keluarga di Ukraine.

“Kanak-kanak meninggalkan semua yang mereka tahu untuk mendapatkan keselamatan. Ini menyayat hati,” kata Pengarah Serantau UNICEF untuk Eropah dan Asia Tengah, Afshan Khan.

Sekurang-kurangnya 37 kanak-kanak telah terbunuh dan 50 yang lain cedera dalam tempoh kurang dua minggu, kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell.

UNICEF mengulangi gesaannya untuk akses kemanusiaan yang selamat, pantas dan tanpa halangan untuk mereka yang memerlukan, termasuk laluan selamat kepada orang awam bagi mendapatkan akses perkhidmatan serta perlindungan.

Agensi PBB itu merayu AS$349 juta untuk mengelakkan kemerosotan kebajikan kanak-kanak di Ukraine dan negara jirannya.

Peperangan Russia terhadap Ukraine yang bermula pada 24 Februari telah mengundang kecaman antarabangsa, dan membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow serta mendorong syarikat global keluar dari Russia.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button