Berita Utama

Mangsa banjir di 3 negeri menurun

Lima PPS masih beroperasi di Kuala Langat, Sepang

KUALA LUMPUR, 8 Syaaban 1443H, Jumaat – Jumlah mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 284 orang daripada 73 keluarga pagi ini berbanding 327 orang daripada 83 keluarga semalam.

Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam laporan terkini pada 8 pagi ini memaklumkan seramai 14 individu daripada empat keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang, Johor yang dibuka sejak Rabu lepas.

Di Melaka, hanya satu PPS dibuka pada 8 Mac lepas di daerah Jasin, iaitu di SK Parit Penghulu yang  menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga.

Sementara itu di Selangor, jumlah mangsa di daerah Kuala Langat dan Sepang kekal dengan 237 mangsa daripada 62 keluarga dan masih ditempatkan di lima PPS yang beroperasi.

Lima PPS tersebut adalah Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, Sekolah RTB Bukit Changgang dan SK Kota Warisan.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button