Berita Utama

PRN Johor: 1,021 pusat mengundi dibuka esok

Sebarang bentuk aktiviti kempen akan tamat 11.59 malam ini

BANGI, 8 Syaaban 1443H, Jumaat – Sebanyak 1,021 pusat mengundi membabitkan 4,638 saluran akan dibuka esok bagi membolehkan 2,539,606 pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, semua pihak yang bertanding juga diingatkan tempoh rasmi berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini.

Beliau berkata, selepas tempoh itu berakhir, sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk merayu undi hendaklah dihentikan.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka. membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi.

“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, semua pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti mana tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya.

Ikmalrudin berkata, majikan juga diingatkan supaya membenarkan pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal pada hari pengundian.

Beliau berkata, bagi pengundi yang bergejala akan tetap dibenarkan mengundi di khemas khas yang dipantau pegawai kesihatan.

“Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Manakala pengundi berstatus Patient Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran dari pegawai kesihatan daerah untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi,” katanya.

Katanya, SPR turut mengingatkan semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas supaya tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon bertanding atau bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen ke pusat mengundi.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button