Dunia

WHO beri amaran ancaman Deltacron di Eropah

Varian baharu COVID-19 gabungan versi Delta-Omicron

LONDON, 8 Syaaban 1443H, Jumaat – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa varian baharu COVID-19 – didakwa gabungan versi Delta dan Omicron – merebak dengan cepat di bahagian Eropah.

WHO berkata, varian yang dikenali sebagai ‘Deltacron’ oleh sesetengah pihak, didapati merebak di Perancis, Belanda dan Denmark.

Organisasi itu percaya bahawa penularan varian berkenaan turut dikesan pada dua kes di Amerika Syarikat (AS), selain memaklumkan merancang menerbitkan laporan penemuannya tidak lama lagi.

Amaran itu dikeluarkan beberapa hari sebelum 11 Mac, iaitu ulang tahun kedua WHO mengisytiharkan pandemik global.

Organisasi berkenaan mengeluarkan amaran serius bahawa varian baharu itu berpotensi menjadi risiko besar di Eropah dan AS.

Bagaimanapun, keseluruhan kes Deltacron kekal rendah, walaupun di negara-negara di mana penularan kes telah dikesan.

Setakat ini, di AS dan kebanyakan di Eropah, kes kematian akibat COVID-19 menurun, namun varian Omicron yang mudah merebak kekal sebagai strain dominan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button