Uncategorized

Laporan isu Jakim kurang tepat, mengelirukan: Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Mesyuarat baru-baru ini hanya buat ketetapan seorang raja pemerintah wajar penuhi peranan Pengerusi MKI

BANGI, 9 Syaaban 1443H, Sabtu – Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja, adalah kurang tepat dan dianggap boleh mengelirukan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258, baru-baru ini hanya membuat ketetapan bahawa salah seorang dari raja pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selama dua tahun secara bergilir-gilir, manakala Perdana Menteri dilantik sebagai timbalannya.

Beliau menjelaskan, pelantikan Pengerusi MKI sejak penubuhannya oleh Majlis Raja-Raja sendiri pada tahun 1968, sememangnya dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah diperkenankan memenuhi peranan serta tanggungjawab MKI sebagai pengerusi.

“Ketetapan ini adalah selaras dengan perakuan yang dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja oleh Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji yang berpandangan bahawa oleh kerana Islam terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara raja-raja pemerintah, adalah lebih bertepatan untuk MKI dipengerusikan oleh seorang raja pemerintah.

“Perakuan jawatankuasa telah dirunding oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dengan pihak kerajaan dan telah mencapai persefahaman dan kata sepakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan daripada perkembangan itu, beliau berkata, Majlis Raja-Raja kali ke-258 telah berkenan memilih Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun.

“Kenyataan ini dikeluarkan untuk memberikan pencerahan terhadap berita kurang tepat yang dilaporkan oleh The Star dan beberapa buah akhbar lain pada 10 Mac 2022,” katanya.

Sebelum ini, akhbar berkenaan yang memetik sumber mendakwa, bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja memutuskan untuk meletakkan Jakim di bawah Majlis Raja-Raja, selain Sultan Sharafuddin dilantik sebagai Pengerusi MKI dan Ismail Sabri sebagai Timbalan Pengerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button