Dunia

Palestin: 8 dibunuh, 140 cedera dalam masa 2 minggu angkara Israel

Rejim roboh 29 bangunan Palestin punca 62 orang hilang tempat tinggal

RAMALLAH, 9 Syaaban 1443H, Sabtu – Pasukan pengganas Israel menembak dan membunuh lapan rakyat Palestin, selain mencederakan 140 yang lain dalam tempoh dua minggu antara 22 Februari hingga 9 Mac lalu.

Menurut laporan dwi mingguan Perlindungan Orang Awam di wilayah Palestin yang diterbitkan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), sebanyak 29 bangunan milik Palestin dirobohkan dan menyebabkan 62 orang termasuk 28 kanak-kanak hilang tempat tinggal.

Pada 9 Mac, seorang lelaki Palestin berusia 23 tahun meninggal dunia akibat parah ditembak tentera Israel berhampiran perkampungan Burqa, bandar Nablus di Tebing Barat pada 2 Mac lalu.

22 Februari lalu, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditembak mati berhampiran al Khader di Bethlehem, dan seorang lagi remaja 19 tahun turut dibunuh oleh rejim di Beit Fajjar pada 1 Mac.

Pada 6 Mac, seorang remaja lelaki Palestin berusia 15 tahun ditembak di Abu Dis, timur Baitulmaqdis.

Dua warga Palestin berusia 19 dan 22 tahun turut ditembak mati polis Israel di kota lama, Baitulmaqdis pada 6 dan 7 Mac kerana didakwa cuba menikam serta mencederakan pasukan rejim.

Sementara dua lagi rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel pada 1 Mac di kem pelarian Jenin.

Pada masa sama, 140 rakyat Palestin termasuk 20 kanak-kanak cedera angkara tindakan tentera pengganas Israel di seluruh Tebing Barat, kata laporan PBB.

Hampir separuh daripada kecederaan direkodkan berhampiran Beita dan Beit Dajan – kedua-duanya di daerah Nablus – Kafr Qaddum, berhampiran Qalqiliya, kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur dan kawasan H2 bandar Hebron, dalam demontrasi menentang penempatan serta solidariti terhadap keluarga yang terbabit tindakan pengusiran.

Tentera Israel juga melakukan 82 operasi mencari dan menangkap serta menahan 183 rakyat Palestin dalam tempoh sama. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button