Pengundi automatik faktor utama peratusan keluar undi rendah
Jumlah pengundi tegar besar beri kelebihan pada BN

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 9 Syaaban 1443H, Sabtu – Pertambahan pengundi baharu khususnya yang didaftarkan secara automatik menjadi antara faktor penyumbang kepada peratusan kadar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini rendah.
Walaupun situasi pandemik COVID-19 dan pengundi luar yang tidak pulang mengundi juga memberi kesan, namun faktor utama adalah kerana berlaku pertambahan kepada 750,000 pengundi baharu, kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Sani.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, hanya 166,000 yang dikategorikan sebagai pengundi 18, manakala selebihnya adalah pengundi baharu berumur 21 tahun ke atas.
“Dan separuh daripadanya sebenarnya adalah pengundi-pengundi pendaftaran automatik yang mana mereka sendiri memang sebelum ini tidak mengundi dan nama mereka dimasukkan dalam daftar mengundi.
“Oleh kerana, tidak ada undang-undang yang memaksa mereka mengundi, jadi mereka rasa tidak perlu untuk keluar mengundi,” katanya dalam rancangan bual bicara ‘Johor Milik Siapa’ di TV Pertiwi, malam ini.
Atas sebab itu, beliau berpendapat, jumlah peratusan yang keluar mengundi setakat jam 4 petang tadi hanyalah 50 peratus.
“Kalau 50 peratus atau mencapai 60 peratus misalnya sehingga jam 6 petang tadi, itu sebenarnya jumlah keluar mengundi lebih 1.5 juta, dan ia besar serta hampir sama dengan jumlah keluar mengundi ketika PRU14 lalu.
“Sebenarnya kejatuhan peratusan ini banyak disumbangkan oleh pengundi automatik, tetapi dalam jumlah keluar mengundi itu sebenarnya masih besar di kalangan pengundi-pengundi di negeri Johor,” katanya.
Prof Mohd Azizuddin berkata, keadaan itu sebenarnya memberikan kelebihan kepada parti mempunyai jumlah pengundi tegar yang besar, iaitu Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, BN mempunyai pengundi tegar paling besar di Johor iaitu secara purata 25 peratus hingga 35 peratus bergantung pada kawasan.
“Dan mereka ini ada peluang untuk memenangkan parti BN, jadi itulah yang kita dapat lihat dalam corak pengundian kali ini.
“Banyak kawasan-kawasan mula dirampas misalnya kalau kita lihat pada PRU lepas, BN menang 19 kerusi tetapi kalau ikut jangkaan awal tadi dah memasuki jumlah 42 kerusi, dan laporan media juga ada mengatakan sudah 46 kerusi mendahului,” katanya.
Justeru, beliau melihat bahawa PRN kali ini memberikan kelebihan kepada BN kerana menjadi parti mempunyai jumlah penyokong tegar yang besar.
Malah, Prof Mohd Azizuddin turut berpandangan bahawa corak undi pengundi 18 juga berpecah mengikut semua parti, yang mungkin memberi kelebihan kepada BN.
“Ini juga yang saya nak highlight iaitu perubahan sikap pengundi Cina. Kalau lihat di beberapa kawasan seperti Yong Peng dan Pekan Nenas, pengundi Cina nampaknya memberi sokongan kepada BN atau MCA.
“Ini pun satu corak undian yang hampir sama dengan Melaka, apabila perubahan sikap berlaku pada orang Cina dan ia dilihat juga di Johor,” katanya.
TONTON PENUH DI:
https://www.facebook.com/TvPertiwi/