Berita Utama

Polis sahkan kes kematian di satu pusat mengundi di Muar

Lelaki berusia 78 tahun rebah secara tiba-tiba dan tak sedarkan diri

MUAR, 9 Syaaban 1443H, Sabtu – Polis mengesahkan satu kematian membabitkan seorang lelaki warga emas di satu pusat mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 78 tahun itu rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri di tempat kejadian sebelum kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir.

“Siasatan dijalankan setakat ini mendapati kematian lelaki itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan si mati telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaharudin berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang isu sensitif berhubung kejadian itu di saluran media sebelum mendapat kenyataan rasmi daripada polis.

Katanya, ia bagi mengelak sebarang salah anggap dan spekulasi negatif yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button