Berita Utama

PRN Johor: Proses pengundian berjalan lancar

Beberapa calon yang bertanding juga selesai mengundi pada awal pagi

JOHOR BAHRU, 9 Syaaban 1443H, Sabtu – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan lancar setakat jam 11 pagi hari ini, dengan para pengundi yang hadir ke pusat-pusat pengundian mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 13 peratus pengundi telah mengundi setakat jam 10 pagi.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman selesai menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, di Muar kira-kira jam 9 pagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan ibu bapanya pula mengundi bagi DUN Endau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing.

Beberapa calon-calon yang bertanding dalam PRN Johor raya kali ini juga selesai mengundi pada awal pagi antaranya calon Pejuang bagi DUN Kempas, Nornekman Osman, calon Barisan Nasional (BN) DUN Kota Iskandar, Pandak Ahmad dan calon BN DUN Semarang, Datuk Samsolbari Jamali.

“Saya sentiasa mendoakan kejayaan anak,” kata ibu Nornekman iaitu Datin Nora Md Som yang juga balu bekas menteri besar Johor, Datuk Osman Sapian, selepas selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Larkin (1) di sini.

Allahyarham Osman merupakan penyandang DUN Kempas.

Nornekman berdepan pertandingan tujuh penjuru membabitkan calon BN Datuk Ramlee Bohani, calon PKR Napsiah Khamis @ Maharan dan Nur Faizal Abdullah mewakili Perikatan Nasional (PN).

Dalam kesibukan membuat liputan PRN Johor, beberapa petugas media juga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka.

Antaranya ialah petugas Bernama iaitu Suhanie Mohd Khalid di SMK Sri Kluang di Kluang, R Vikneswaran di SMK Dato’ Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam dan Hilmizudin Daud di Sekolah Agama Dato’ Sulaiman Menteri di sini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button