Berita Utama

PRN Johor: Rakyat nantikan agenda kesatuan Melayu, Islam diangkat

Harap ada pembaharuan yang dibawa demi masa depan negara

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 10 Syaaban 1443H, Ahad – Rakyat kini menantikan agenda kesatuan Melayu dan Islam terus dimartabatkan susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berharap, ada pembaharuan lebih sempurna demi masa depan agama dan bangsa dibawa oleh pemimpin-pemimpin yang baharu diberikan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

“Tahniah BN atas kemenangan di Johor, ikhlas dari saya Presiden BERJASA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau dalam masa sama berharap, pemimpin yang dipilih memberikan perkhidmatan terbaik dan sentiasa mengambil tahu masalah rakyat.

Selain itu, katanya, mereka juga perlu sentiasa menjadi penghubung di antara rakyat dan kerajaan.

Dalam masa sama, beliau berharap, pemimpin yang dipilih tidak menggunakan kuasa untuk agenda peribadi sebaliknya terus mengutamakan rakyat.

“Buat kerja, turun padang, jaga agama, jaga rakyat, jangan penuhkan poket kawan-kawan sahaja,” katanya.

PRN Johor semalam menyaksikan BN mendapat kemenangan melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button