Berita Utama

BN diharap tadbir Johor dengan penuh amanah, berintegriti

Perubahan sikap kaum Cina, India kembali sokong BN jadi faktor menang: Penganalisis

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Syaaban 1443H, Ahad – Mandat yang diberikan rakyat Johor kepada Barisan Nasional (BN) merupakan satu titik permulaan ke arah pembaharuan menyeluruh dan kestabilan politik berkekalan, kata Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun.

Beliau berkata, kepimpinan baharu di Johor diharapkan dapat mentadbir dengan amanah dan berintegriti dalam melancarkan proses pentadbiran negeri.

“Kemenangan semula BN bermakna BN masih kukuh dan relevan dan mantap seiringan dengan roh perjuangan UMNO.

“Kami percaya BN akan terus kekal di bawah barisan pimpinan yang berintegriti, berdaya saing, profesional dan tetap bersama kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Shahbudin menjelaskan, pemilihan calon mengikut strategi ‘WALI’ iaitu ‘winnable, likable, acceptable, integrity’ telah berjaya meraih keputusan di luar jangkaan dan menjadi landasan perjuangan seterusnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemenangan ini juga adalah hasil daripada undi Melayu yang memenangkan UMNO serta perubahan sikap kaum Cina dan India kembali menyokong BN. 

“Maka peluang kali ini diharapkan dapat digunakan untuk melihat semula keberkesanan pelbagai polisi kerajaan untuk membawa Johor ke arah negeri ranking nombor satu dari segi kemakmuran ekonomi.

“MPM sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan ini dan didoakan agar pelaksanaan manifesto ‘Ikhtiar BN Johor’ akan tercapai dan terlaksana demi memartabatkan maruah, bangsa, agama dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button