Berita Utama

BN kembali berkuasa, peroleh mandat besar bentuk kerajaan Johor

Memenangi 40 daripada 56 kerusi dipertandingkan

JOHOR BAHRU, 10 Syaaban 1443H, Ahad – Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Johor malam ini apabila memperoleh mandat besar lebih dua pertiga majoriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.

Daripada sejumlah 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertanding, BN memenangi 40 kerusi dengan UMNO merangkul kejayaan di 33 kawasan, MCA empat manakala MIC tiga.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan (PH) memperoleh mandat membentuk kerajaan negeri Johor selepas memenangi 36 kerusi DUN berbanding BN yang hanya memperoleh 19 manakala PAS menang di satu kawasan.

Kemenangan BN itu turut memecah rekod pencapaiannya pada PRU ke-13 apabila menang di 38 kerusi manakala bakinya dimenangi pembangkang.

BN berjaya memenangi kerusi DUN Buloh Kasap, Sungai Balang, Sri Medan, Semarang, Parit Raja, Rengit, Machap, Layang-Layang, Kahang, Penawar, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Tanjung Surat, Benut dan Kukup.

Gabungan parti UMNO, MIC dan MCA itu juga berjaya merampas semula Pemanis, Kemelah, Bekok, Tenang, Bukit Pasir, Gambir, Serom, Bukit Naning, Semerah, Yong Peng, Parit Yaani, Senggarang, Mahkota, Paloh, Tiram, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar, Bukit Permai, Pulai Sebatang dan Pekan Nanas.

Pada PRN itu, yang menyaksikan pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun mengundi buat pertama kali, BN memenangi 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 11 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi manakala PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu.

Pilihan raya itu turut menyaksikan kemunculan parti baharu iaitu MUDA, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) manakala Parti Warisan membuat penampilan sulung di Semenanjung.

Mengukuhkan kemenangan BN di Johor ialah Menteri Besar dan Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad yang berjaya mempertahan kerusi Benut buat penggal keempat manakala Datuk Samsolbari Jamali memenangi kerusi Semarang buat penggal kelima.

Merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Johor kerana memberi mandat kepada BN, Hasni mengajak Bangsa Johor agar bersama-sama memakmur dan memajukan negeri yang digelar Harimau Selatan itu.

“Rakyat Johor mahukan kerajaan negeri yang lebih responsif, lebih fokus dan lebih komited untuk menjaga dan memimpin mereka. Yakinlah yang demikian merupakan hasrat saya,” menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook awal pagi ini.

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang membuat kemunculan semula di DUN Rengit, turut membuktikan bahawa dirinya masih diterima pengundi dengan mengekalkan kemenangan BN di kerusi yang merupakan kubu kuat parti itu.

Setiausaha Perikatan Nasional yang juga bekas Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal pula mengekalkan kerusi Bukit Kepong dengan majoriti 9,873 undi, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub mengulangi kemenangan di Simpang Jeram (majoriti 8,749 undi) manakala Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, yang pertama kali bertanding di Perling, memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,347 undi.

Setiausaha Agung MUDA Amira Aisya Abd Aziz turut melakar kemenangan manis apabila penyertaan kali pertama parti itu dalam PRN Johor membuahkan hasil dengan memperoleh kerusi DUN Puteri Wangsa.

Kenangan pahit pula menghantui pakatan pembangkang apabila Pengerusi PH Johor dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan kalah di Parit Yaani.

Bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat dan Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin juga tewas di kerusi Pulai Sebatang.

Turut kecundang Ketua Penerangan Bersatu Johor Mohd Solihan Badri di DUN Gambir, Ketua Pejuang Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh di Machap dan Timbalan Pejuang Johor Nornekman Osman di Kempas.

Tidak ketinggalan kekalahan dua Ahli Parlimen iaitu Steven Choong Shiau Yoon daripada PBM di Puteri Wangsa dan Dr Maszlee Malik yang bertanding atas tiket PKR di DUN Layang-Layang.

PRN Johor kali ini menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi DUN.

Seramai 1,426,573 orang atau 54.92 peratus telah keluar mengundi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button