Berita Utama

Kes harian di bawah 30,000, kadar boleh jangkit bawah 1.0: KP Kesihatan

26,073 kes atau 99.33 peratus dalam kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR, 10 Syaaban 1443H, Ahad – Kes harian baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam menurun kepada 26,250 kes berbanding 32,800 kes pada Jumaat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan 26,250 kes yang dicatatkan semalam, 26,073 kes atau 99.33 peratus dalam kategori satu dan dua, manakala kategori tiga, empat dan lima yang dicatatkan semalam berjumlah 177 kes atau 0.67 peratus.

Dalam kenyataan hari ini mengenai perkembangan harian pandemik COVID-19 dalam negara, katanya kadar kebolehjangkitan (Rt) yang dicatatkan di seluruh negara semalam adalah sebanyak 0.99, berbanding 1.03 pada Jumaat.

Sementara itu mengenai katil COVID-19 bagi kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) beliau berkata enam negeri mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus semalam iaitu Putrajaya 167 peratus, Kelantan (69 peratus), Johor (68 peratus), Kuala Lumpur (65 peratus), Selangor (58 peratus) dan Perak (53 peratus).

Katanya jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula menurun kepada 211 pesakit berbanding 231 pesakit pada 11 Mac manakala peratusan penggunaan ventilator semalam ialah 24 peratus berbanding 26 peratus pada 11 Mac.

Merujuk kepada jangkitan COVID-19 dalam kalangan warga emas Dr Noor Hisham berkata, dari 19 Mac 2020 hingga 9 Mac 2022 sebanyak 367,522 kes jangkitan melibatkan golongan itu, yang mewakili 9.9 peratus daripada keseluruhan 3,711,199 kes positif di negara ini dalam tempoh berkenaan.

Katanya dari 25 Jan 2020 hingga 3 Mac 2022, sebanyak 154 kluster jangkitan COVID-19 dilaporkan di pusat jagaan warga emas.

“Kluster ini (pusat jagaan warga emas) adalah penyumpang tertinggi berbanding kluster-kluster kumpulan berisiko yang lain seperti di pusat jagaan kanak-kanak, pusat dialisis dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kadar kematian akibat COVID-19 dalam kalangan warga emas adalah lebih tinggi berbanding kumpulan umur lain dan kumpulan warga emas yang tidak divaksinasi pula adalah paling berisiko dijangkiti COVID-19 dan mengakibatkan kematian.

Sehubungan itu beliau menyeru semua warga emas mendapatkan dos penggalak dengan segera.

“Dapatkan dos penggalak. Vaksin tidak menjadikan seseorang kebal terhadap jangkitan COVID-19 tetapi vaksin dapat melindungi daripada kesan jangkitan yang teruk sehingga menyebabkan kematian,” kata Dr Noor Hisham. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button