Pendapat

Heret Israel ke ICC satu jenaka dunia

Sudah banyak kejahatan dilakukan tapi tidak ada apa-apa sekatan dikenakan terhadap Israel

ISRAEL adalah termasuk antara negara yang tidak menandatangani Statut Rom bersama dengan beberapa buah negara lagi termasuk AS. Secara ringkasnya ICC tidak berhak untuk mendakwa keganasan Israel semasa peperangan di Gaza selama 11 hari dalam Peperangan Saif Al Quds baru-baru ini. Walaupun Ketua Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda berkata bahawa pihaknya telah membuka satu siasatan penuh jenayah perang di wilayah Palestin termasuk Gaza.

Adalah dicadangkan kepada Ketua Pendakwa Raya ICC supaya menyimpan dokumen siasatan itu untuk diserahkan kepada mana-mana muzium yang menyimpan manuskrip lama untuk kajian generasi akan datang. Itupun jika sekiranya masih berharga. Kalau sebaliknya baik dibakar terus supaya dokumen itu tidak menyakitkan hati umat Islam umumnya dan rakyat Palestin khususnya. Kenyataan terkini dari Presiden German, Frank Walter Steinmeier menyatakan bahawa ICC tidak boleh mendakwa Israel kerana negara Palestin tidak wujud secara sah. Inilah jenaka dunia terhadap Palestin.

Sudah banyak kejahatan yang dilakukan oleh Israel setakat ini terutama di Palestin, tidak ada apa-apa sekatan atau tekanan yang dikenakan terhadap Israel. PBB tidak berdaya untuk mengenakan sebarang tekanan dan sekatan terhadap Israel sehingga untuk meluluskan usul hanya pernyataan kutukan semata-mata pun digagalkan oleh AS. Inikan pula hanya sebuah badan perundangan antarabangsa ICC yang tidak diiktiraf oleh Israel termasuk sekutu rapatnya AS.

Israel juga memiliki senjata nuklear secara meluas dengan bantuan AS tanpa sebarang halangan dan kawalan. Tanpa kawalan bermaksud pemilikan teknologi nuklear oleh Israel tiada had dan tiada kawalan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency) badan penyelaras nuklear PBB. Ada lima buah negara sahaja yang dibenarkan oleh PBB iaitu AS, United Kingdom, Perancis, Soviet Union kini Rusia dan Republik Rakyat China tidak termasuk India, Pakistan dan Israel.

Israel juga memiliki senjata biologi yang diharamkan penggunaannya dalam sebarang peperangan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Israel bebas memiliki segala teknologi nuklear dan senjata biologi tanpa had dan kawalan dari mana-mana agensi yang bertanggungjawab termasuk PBB dan agensinya. Bahkan Israel bebas menggunakannya tanpa sebarang sekatan.

Cukuplah jenaka badan badan dunia menghina bumi Palestin dan rakyatnya. Palestin mampu bangkit dengan bantuan dari saudara muslim yang seagama dengannya.

Ustaz Sharipudin Abdul Kadir
Ketua Perhubungan ISMA Negeri Kelantan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button